
Lebih 800 Terkorban Gempa Bumi Di Afghanistan
KABUL — Sekurang-kurangnya lebih 800 terkorban manakala 2,500 orang cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda timur Afghanistan pada lewat Ahad, lapor AFP.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid.
Katanya, bencana itu mengakibatkan ribuan orang terpaksa bermalam di kawasan terbuka ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.
Difahamkan, kawasan di wilayah Kunar merupakan lokasi paling teruk terjejas akibat gempa itu.
Pihak berkuasa turut memberi amaran angka korban dijangka meningkat dengan mendadak memandangkan beberapa perkampungan terkesan.
“Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka,” kata Ketua Pengurusan Bencana di Kunar, Ehsanullah Ehsan kepada AFP.
Di wilayah jiran Nangarhar, 12 orang maut dan 255 cedera, manakala 58 lagi cedera di wilayah Laghman.
Beberapa kampung yang paling terjejas di Kunar masih tidak dapat diakses kerana jalan terhalang, menurut Agensi Migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 27 kilometer dari Jalalabad dan berlaku pada kedalaman cetek, iaitu hanya lapan kilometer di bawah permukaan bumi.
Pada Oktober 2023, gempa bermagnitud 6.3 di wilayah Herat meragut lebih 1,500 nyawa dan memusnahkan lebih 63,000 rumah.
Pada Jun 2022, gempa bermagnitud 5.9 di wilayah Paktika pula membunuh lebih 1,000 orang dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.
Sebelum ini, AFP melaporkan bahawa gempa bumi yang melanda timur Afghanistan itu telah mengorbankan sebanyak 622 nyawa, manakala lebih 1,500 lagi cedera.
Gempa bumi yang berlaku sebelum tengah malam Ahad itu mengakibatkan seramai 610 orang terkorban dan 1,300 lagi cedera di wilayah Kunar.
Jurucakap Abdul Mateen Qani berkata, 12 orang dilaporkan maut dan 255 lagi cedera di wilayah Nangarhar.
Pegawai tempatan dan penduduk sedang giat menjalankan operasi menyelamat.
Sumber: AFP Via France24