Lebih 5,000 Rakyat Malaysia Sertai Peraduan #MySenyum, Bantu Dua Badan Amal

Amira

KitaJaga.co dan Lighthouse Children Welfare Home Association mendapat manfaat dari kolaborasi unik bersama MCIS Life

Petaling Jaya, 2 September 2022 – MCIS Life menyalurkan dana sejumlah RM 20,000 kepada Lighthouse Children Welfare Home Association dan platform kemanusiaan, KitaJaga.co untuk menyokong misi kedua-dua organisasi sempena penutupan rasmi peraduan #MySenyum.

Dilancarkan pada Januari tahun ini sebagai salah satu inisiatif di bawah kredo “People Helping People”, peraduan #MySenyum menggalakkan rakyat Malaysia untuk berkongsi senyuman dan menyebarkan detik keriangan bersama sambil membantu mereka yang memerlukan.

Pada awalnya, MCIS Life memberi komitmen untuk menderma RM5 bagi setiap 2,000 penyertaan peraduan yang pertama. Ini akan memberi Lighthouse dan KitaJaga.co dana sejumlah RM5,000 untuk setiap organisasi. Namun, setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan melebihi 5,000 penyertaan, syarikat insurans ini telah menggandakan jumlah derma mereka kepada kedua-dua organisasi dengan setiap organisasi mendapat dana sebanyak RM 10,000.

“Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia di dalam era pasca pandemik, komuniti kita ikhlas membantu dan mengambil berat antara satu sama lain. Ini terbukti dengan penyertaan sebanyak 5,715 orang yang berkongsi senyuman mereka melalui peraduan ini dan secara tidak langsung membantu mereka yang memerlukannya,” kata Encik Ragunath Murthy, Ketua Pengedaran dan Pemasaran MCIS Life.

Lighthouse dipilih sebagai salah satu penerima dana kerana komitmen mereka dalam penyediaan penjagaan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia tanpa mengira latar belakang dan etnik. Manakala, KitaJaga.co merupakan platform kemanusiaan yang didorong oleh komuniti untuk membantu warga Malaysia yang memerlukan bantuan.

Bagi pengasas KitaJaga.co, Encik Reza Razali, dana ini akan membantu dalam pembiayaan platform digital untuk memastikan usaha yang mampan dan berterusan dapat dijalankan dalam menghulurkan khidmat kepada yang memerlukan. Beliau amat gembira apabila organisasinya dipilih untuk menjadi sebahagian daripada kempen MySenyum, kempen yang mengutamakan keriangan di dalam kehidupan. Beliau juga bersetuju bahawa senyuman itu juga adalah satu bentuk sedekah.

“Salah satu kebaikan yang selalu dipandang enteng adalah sedekah berbentuk senyuman. Apabila terkumpul, ia dapat memberi perubahan yang besar,” kata Reza.

Pengasas Lighthouse, Puan Jacinta Steven berkata, “Kami sangat berterima kasih kepada MCIS Life. Situasi kami mencabar, tetapi kami tidak pernah berputus asa dan percaya kepada kebaikan Rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan. Dana ini akan digunakan untuk pembiayaan pelajaran anak-anak termasuk yuran pendidikan mereka.”

Peraduan #MySenyum berlangsung dari 28 Januari ke 31 Mac 2022. Ia menyaksikan penyertaan ribuan peminat media sosial menghantar detik keriangan mereka dalam bentuk gambar atau video bersama kapsyen kreatif dan tanda pagar #MySenyum dan #PeopleHelpingPeople. Peraduan ini terbahagi kepada tiga kategori di mana Rakyat Malaysia dapat memenangi hadiah tunai menarik iaitu Cabutan Bertuah Mingguan, #MySenyumFilter Paling Banyak “Like” dan Pemenang Utama #MySenyum.

Sila rujuk Facebook dan Instagram MCIS Life untuk senarai penuh pemenang bagi setiap kategori.