
Lebih 3,000 Orang Berganding Bahu Bersihkan Pantai Kedua Terkotor Di Indonesia
Sekumpulan anak muda dari Indonesia ini sekali lagi berjaya meraih tumpuan selepas berjaya mengumpulkan orang ramai dalam membantu membersihkan pantai yang dikatakan kedua terburuk dan terkotor di Indonesia.
Ekoran daripada itu, kumpulan yang dinamakan Pandawara Group menerusi perkongsian mereka di akaun TikTok telah memohon supaya 1,000 orang dapat dikumpulkan bagi membersihkan pantai tersebut.
“Lampung mohon maaf, pantai terburuk dan terkotor nombor dua di Indonesia ada di daerah kalian,” kata salah seorang ahli kumpulan tersebut.
“Dicari 1,000 orang Lampung untuk membantu membersihkan sampah yang ada di sini. Warga Lampung mari sertai kami,” tambah seorang lagi ahli kumpulan tersebut.

Gotong-royong besar-besaran itu telah dijalankan di lokasi pantai Jalan Ikan Selar, Bandar Lampung, Indonesia pada 10 Julai lalu.
“Lokasinya ada di pantai Jalan Ikan Selar, Banda Lampung. Untuk kegiatan pembersihan, akan dilakukan pada hari Isnin bersamaan 10 Julai, bermula dari pukul 07.00 WIB. Kami tunggu kedatangan anda,” kata ahli kumpulan itu lagi.
Hasil daripada permintaan yang dilakukan oleh kumpulan tersebut di TikTok, inisiatif gotong-royong itu telah berjaya mengumpulkan ramai orang.
Bukan sahaja disertai oleh orang awam, malah ia turut disertai oleh badan beruniform dari pelbagai agensi.
Orang awam yang menyertai acara itu dilihat memakai pakaian berwarna merah dan beberapa warna yang lain.
Gotong-royong yang pada awalnya menyasarkan seramai 1,000 orang telah bertukar menjadi lebih baik apabila jumlah keseluruhan yang datang berganding bahu mencecah seramai 3,700 orang.

Jumlah peserta itu dilaporkan sendiri oleh pihak polis yang menyertai operasi sambil memastikan perjalanan acara selamat.
Syabas dan tahniah semuanya kerana menjaga alam sekitar!
Terdahulu, pantai di daerah Pandeglang di Indonesia yang disifatkan sebagai pantai terburuk dan terkotor telah menjadi lokasi pilihan pertama kumpulan itu.
Video tersebut dimuat naik oleh seorang pempengaruh @pandawaragroup di TikTok di mana kumpulan tersebut meminta pertolongan penduduk untuk hadir membersihkan pantai berkenaan.
“Kami pandawaragroup meminta tolong kepada semua pihak yang ada di wilayah Banten dan kawasan lainnya untuk turut serta membersihkan pantai yang ada di Teluk, mukim Labuan, daerah Pandeglang pada tanggal 22 hingga 23 Mei ini.
Rakaman klip yang berdurasi satu minit tiga saat itu meraih perhatian ramai dan mendapat jumlah tontonan sebanyak 28.5 juta setakat artikel ini ditulis.
Video itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan umum susulan ramai yang bertindak turun padang membantu membersihkan pantai yang kotor tersebut.
Sumber: TikTok/@pandawaragroup