
Umum diketahui bahawa dunia pekerjaan terus berubah dengan pantas dari tahun ke tahun. Dalam tempoh sedekad akan datang, perubahan ini dijangka menjadi lebih ketara.
Dalam hal ini, tidak dinafikan bahawa kursus berasaskan kemahiran bakal menjadi antara yang paling ‘laku keras’ dan paling dicari oleh industri.
Permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dijangka meningkat selaras dengan kemajuan teknologi, keperluan industri global dan hala tuju ekonomi negara.
Persoalannya, apakah kursus yang mampu menjamin masa depan anda dalam dunia yang semakin kompetitif ini? Bagaimana pula anda boleh memulakan langkah ke arah bidang ini?
Salah satu sektor yang dikenal pasti mempunyai masa depan cerah menjelang 2030 ialah sektor aeroangkasa.
Ironinya, kerajaan Malaysia sendiri kini sedang melaksanakan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB) sebagai satu strategi besar negara.
Pelan ini merangkumi sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa di Asia Tenggara menjelang tahun 2030.
Antara fokus utama pelan ini termasuklah peningkatan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pengeluaran komponen pesawat, pembangunan teknologi baharu serta pelaburan dalam sumber manusia berkemahiran tinggi.
Usaha ini bukan sahaja mencerminkan visi masa depan negara, malah bakal membuka ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan.

Tambahan pula, bagi menyokong pertumbuhan sektor ini, kerajaan turut menyasarkan untuk melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi, terutamanya dalam bidang aeroangkasa.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Malaysia kini hanya mampu menghasilkan kira-kira 6,000 jurutera setahun, jauh daripada keperluan sebenar negara.
“Jadi kita tumpukan juga kepada lepasan pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh selain daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Maahad Tahfiz swasta untuk kita mengambil mereka bagi menyertai bidang kejuruteraan,” kata beliau.
Dalam pada itu, dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan teknikal, kerajaan turut menyokong jalinan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri.
Buktinya, lima Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai antara Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan lima pemain industri utama sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) lalu.
Kerjasama itu melibatkan syarikat Galaxy Aerospace, Aerostar Technologies, Global Turbine Asia, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pen Aviation.
Menurut Ahmad Zahid, kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkaya kurikulum dan latihan teknikal di UniKL MIAT, malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri aeroangkasa serantau.

Jadi, persoalannya, bagaimana anda boleh memulakan langkah ke arah bidang yang sedang berkembang pesat ini? Jawapannya adalah melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
TVET kini tidak lagi dipandang sebelah mata, malah semakin diiktiraf sebagai laluan utama ke arah kerjaya berpendapatan tinggi dalam sektor kritikal seperti aeroangkasa.
Bagi pelajar yang berminat dalam dunia pesawat dan teknologi penerbangan, terdapat pelbagai kursus TVET yang ditawarkan seperti:
Penyelenggaraan Pesawat
Teknologi Pembuatan Aeroangkasa
Avionik & Elektronik Penerbangan
Kimpalan & Komposit Berketepatan Tinggi
Kursus-kursus ini ditawarkan di institusi-institusi seperti Kolej Vokasional, Politeknik, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan UniKL MIAT.
Graduan dari institusi-institusi ini bukan sahaja memiliki kemahiran praktikal yang diperlukan industri. Malah, berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa yang meningkatkan nilai mereka di pasaran global.
Potensi melebarkan sayap kerjaya, peluang global
Menceburi bidang aeroangkasa melalui laluan TVET bukan sekadar membekalkan kemahiran asas. Malah, membuka pintu kepada pulangan besar serta masa depan kerjaya yang luas.
Industri ini bukan sahaja menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan. Tetapi, juga menyediakan peluang untuk berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Secara tidak langsung, menyertai bidang ini ibarat satu pelaburan masa depan.
Ia bukan sahaja menjanjikan kestabilan kerjaya. Bahkan, memberi ruang kepada anak muda Malaysia untuk melangkah ke pentas dunia.
Ramalan Boeing: Asia Tenggara bakal jadi pusat pertumbuhan

Menurut laporan Commercial Market Outlook 2024 terbitan Boeing, Asia Tenggara dijangka menjadi antara pusat pertumbuhan utama industri penerbangan dunia.
Antara sorotan utama laporan adalah:
Trafik penumpang di Asia Tenggara dijangka meningkat 7.0% setahun sehingga 2044
Syarikat penerbangan rantau ini dijangka memerlukan 243,000 tenaga kerja baharu
Selain itu, menjelang 2044, jumlah armada pesawat global dijangka melebihi 49,000 buah pesawat.
Perkembangan ini akan mencetuskan permintaan besar untuk juruterbang, juruteknik, kru kabin serta mewujudkan pelbagai kerjaya dalam keseluruhan ekosistem penerbangan.
Selain itu, peluang besar akan terbuka dalam bidang penyelenggaraan pesawat dan operasi cekap tenaga sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian industri.
Menjelang tahun 2030, dunia kerjaya dijangka lebih memihak kepada individu yang memiliki kemahiran teknikal tinggi serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.
Dalam hal ini, bidang aeroangkasa bukan sekadar menawarkan peluang pekerjaan semata-mata. Malah, ia menjanjikan masa depan yang cerah, pendapatan yang lumayan serta potensi kerjaya bertaraf antarabangsa.
Aeroangkasa Sebagai Pilihan Kerjaya Masa Depan
Justeru, bagi anak muda yang masih mencari haluan, inilah masa terbaik untuk membuat keputusan bijak. Industri aeroangkasa memerlukan tenaga kerja yang mampu beradaptasi serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.
Ironinya, Malaysia Aerospace Centre of Excellence (MyAERO Centre) merupakan inisiatif yang diterajui oleh NAICO Malaysia. Pusat ini memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem aeroangkasa negara yang mampan.
Fokus utama MyAERO Centre merangkumi tiga bidang, iaitu pembangunan ekosistem industri, penyelidikan dan teknologi (R&T) serta pembangunan bakat.
Buktinya, salah satu inisiatif strategik MyAERO Centre ialah Program Iltizam Usaha Insan.
Program ini dirangka khusus untuk melengkapkan profesional, pelajar serta penggiat industri aeroangkasa dengan kemahiran dan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Apa yang lebih menarik, program ini dibiayai sepenuhnya (fully funded) dengan matlamat untuk:
Menutup jurang keperluan tenaga kerja.
Meningkatkan daya saing tenaga mahir tempatan.
Mengangkat sektor aeroangkasa Malaysia agar mencapai piawaian industri global.
Untuk info, antara komponen utama yang ditawarkan melalui Program Iltizam Usaha Insan termasuklah:
Program Peningkatan Kemahiran Semula Tenaga Kerja Sedia Ada
Program Peningkatan Kemahiran Aeroangkasa
Program Inisiatif TVET & STEM
Kajian Tenaga Kerja Penawaran & Permintaan
Pendidikan berasaskan TVET kini menjadi laluan utama bagi merebut peluang dalam sektor yang berkembang pesat ini.