
Lebih 200 Graduan Rai Majlis Graduasi Berlatarkan Runtuhan Bangunan Di Gaza
Majlis graduasi merupakan salah satu detik paling berharga dalam hidup seseorang. Ia bukan sekadar hari untuk menggenggam segulung sijil, tetapi juga simbol kejayaan selepas bertahun-tahun berjuang menamatkan pengajian.
Lebih istimewa, ia diraikan bersama keluarga tersayang yang sentiasa menyokong dari awal hingga akhir.
Biasanya, majlis ini dilakukan di dalam dewan tertutup yang gah di universiti, di mana lokasi para graduan menimba ilmu.
Namun berbeza pula situasi buat graduan di bumi Gaza yang terkesan dengan konflik peperangan antara Palestin dan Israel.
Meskipun berlatar belakangkan runtuhan bangunan, namun mereka membukti semangat dalam menimba ilmu tidak pernah terpadam.
Buktinya, 230 graduan dari Fakulti Perubatan dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam meraikan hari penuh bermakna itu ditengah-tengah lokasi yang pernah menjadi medan perang.
Kesemua mereka digelar “Phoenix 2025” sebagai simbolik kepada kebangkitan, ketabahan dan keazaman dalam menuntut ilmu meskipun negara itu berdepan konflik berpanjangan.
Difahamkan, majlis penuh bersejarah itu dilangsungkan di halaman Kompleks Perubatan Al-Shifa, hospital terbesar Gaza, sebuah hospital terbesar di Gaza yang telah musnah teruk.
Menurut Yayasan Samir, antara sebab majlis graduasi itu dilangsungkan di lokasi berkenaan adalah untuk menyampai mesej bahawa ilmu dan nilai kemanusiaan tetap subur walaupun di tengah-tengah kehancuran.
“Perjalanan mereka, yang ditandai dengan ketabahan dan kecemerlangan walaupun menghadapi cabaran luar biasa, menjadi bukti komitmen mereka serta usaha meneruskan legasi rakan-rakan mereka yang telah pergi,” maklum yayasan itu dalam satu hantaran.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengagumi semangat kesemua graduan dalam menuntut ilmu ke menara gading meskipun berdepan pelbagai ujian yang penuh mencabar.
Selain, ucapan ‘Tahniah’ turut membanjiri ruangan komen terhadap para graduan berkenaan yang berjaya menamatkan pengajian mereka.
Antara komen pengguna;
“Walaupun jarak memisahkan kita, kami dapat merasai kegembiraan. Tahniah atas ketabahan dan keteguhan yang tidak pernah goyah sepanjang ini,” komen seorang pengguna.
“Tahniah, sangat bangga,” komen seorang penguna lagi.
Sumber: Instagram Samir.foundation