Lebih 20 Orang Dilapor Terbunuh
Gambar: AFP

Lebih 20 Orang Dilapor Terbunuh Dalam Insiden Penahanan Anak Raja Dadah Mexico “El Chapo”

Iqbal Yasir

Lebih 20 Orang Dilapor Terbunuh Dalam Insiden Penahanan Anak Raja Dadah Mexico “El Chapo”

MEXICO — Seramai 10 askar dan 19 suspek dipercayai terbunuh dalam cubaan membawa lari anak lelaki raja kartel dadah Joaquin “El Chapo” Ovidia Guzman pada Jumaat lalu di sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Culiacan, kata kerajaan Mexico.

Dalam insiden tersebut, ribuan askar berjaya menawan kubu kuat kartel Sinaloa di Culiacan selepas seorang lelaki bersenjata bertindak mengamuk untuk membebaskan ketua mereka.

Menurut pihak berkuasa tempatan, pasukan itu telah mengalihkan berpuluh-puluh kenderaan yang dicuri dan hangus terbakar di sekitar bandar.

Hal ini demikian kerana sebahagian baki kartel terbabit bertindak membakar kereta dan trak di beberapa persimpangan bandar untuk membuat sekatan. Maklum pihak polis, sebanyak 19 sekatan berlaku di jalan raya.

Menteri Pertahanan, Luis Cresencio Sandoval memberitahu pemberita bahawa seorang kolonel yang memimpin batalion itu antara yang terkorban dalam penahanan tersebut.

Sementara itu, seramai 35 anggota askar lagi dilaporkan mengalami cedera akibat ditembak dan segera dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

Dalam insiden ini, 21 lelaki bersenjata telah berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

Tambah Sandavol, sebuah pesawat awam dan dua pesawat Tentera Udara Mexico dilaporkan terkena tembakan daripada ahli kartel tersebut yang cuba membebaskan Ovidia.

“Susulan itu, pesawat tentera terpaksa melakukan pendaratan kecemasan dalam serangan itu. Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan pesawat itu mula beroperasi semula pada Jumaat,” katanya.

Terdahulu, Ovidia Guzman telah ditangkap di bandar laut pada Khamis sebelum diterbangkan ke bandar Mexico untuk dimasukkan ke dalam penjara Altiplano (dengan keselamatan tinggi) di tengah Mexico dimana El Chapo pernah melarikan diri.

Tangkapan itu berjaya dilakukan sewaktu Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador bersedia menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam sidang kemuncak Pemimpin Amerika Utara yang bakal diadakan pada minggu hadapan.

Lelaki berusia 32 tahun yang digelar “El Raton” (The Mouse) didakwa membantu menjalankan operasi bapanya (El Chapo) sejak bekas ketua kartel Sinaloa itu dibawa ke Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Untuk makluman, Amerika Syarikat telah mengeluarkan ganjaran sehingga RM22,017,500 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Ovidio Guzman yang menjadi dalang dalam kartel Sinaloa yang diasaskan oleh bapanya.

Sumber: AFP