Gambar via AFP

Lebih 150 Maut Akibat Gempa Bumi Di Nepal

Nurul Alya

Lebih 150 Maut Akibat Gempa Bumi Di Nepal

Lebih 150 orang maut setelah gempa bumi melanda kawasan terpencil di Barat Nepal pada hari Jumaat baru-baru ini.

Pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat di daerah Jajarkot dan Rukum Barat, terletak 500 kilometer (310 batu) dari barat Kathmandu.

Difahamkan gegaran yang kuat boleh dirasai jauh dari ibu negara Nepal dan di bandar-bandar di negara jiran India, termasuk Delhi.

Pihak kerajaan berkata kira-kira 375 orang telah cedera setakat ini dan kebanyakannya ditempatkan di Hospital Jajarkot.

Sebahagian daripada mangsa terpaksa diterbangkan ke Kathmandu, tetapi pihak penyelamat bimbang untuk mengeluarkan orang lain apabila waktu malam tiba.

Seorang mangsa yang terselamat iaitu Geethakumari Bista memberitahu BBC bahawa penyelamat telah menyelamatkan anak perempuan sulungnya, tetapi dia kehilangan anak perempuan bongsunya.

“Kami bertiga berada di bilik yang sama di tingkat atas. Semuanya berlaku dengan tiba-tiba. Kami tidak faham apa yang sedang berlaku,” katanya.

Setelah rumah mereka runtuh, mereka tertimbus di bawah runtuhan.

“Orang ramai menjerit. Polis bersenjata datang dan saya menjerit, ‘Saya masih hidup!’. Mulanya, mereka selamatkan anak sulung saya dengan mengeluarkannya dan membawanya turun.

“Malangnya, mereka tidak dapat menyelamatkan anak saya yang bongsu. Umurnya 14 tahun,” kata Bista.

Tiga lagi gegaran dirasai dalam masa sejam selepas gempa bumi itu berlaku. Pihak berkuasa tempatan mengarahkan orang ramai untuk duduk di luar selama 24 jam kerana berlaku susulan gempa kecil dilaporkan di kawasan itu.

Rakaman video di media tempatan menunjukkan keadaaan rumah bata bertingkat yang runtuh.

Orang ramai digambarkan menggali runtuhan dalam gelap untuk menarik mangsa yang terselamat daripada sisa-sisa bangunan runtuh.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) Nepal berkata pihaknya sedang menilai kerosakan dan jumlah korban bencana ke atas kanak-kanak dan keluarga.

Bantuan Mangsa Gempa Bumi Di Nepal

Sementara itu Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal, tiba di wilayah terjejas pada hari Sabtu, selepas menyatakan “kesedihan yang mendalam” atas kehilangan nyawa dan harta benda akibat gempa itu.

Menerusi platform media sosial X, Pushpa berkata beliau telah mengarahkan agensi keselamatan untuk segera melancarkan operasi menyelamat dan bantuan.

Mesyuarat Kabinet pada Ahad dijangka untuk memutuskan sama ada menerima bantuan asing untuk bantuan dan penyelamatan.

Pegawai berkata banyak negara, termasuk negara jiran Nepal, iaitu China dan India telah menawarkan bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun operasi pencarian dan menyelamat tergendala kerana jalan telah disekat oleh tanah runtuh yang berlaku kerana gempa bumi.

“Rumah-rumah telah runtuh. Orang ramai lari keluar dari rumah mereka. Saya di luar bersama orang ramai yang ketakutan,” kata pegawai polis dari wilayah itu, Santosh Rokka yang bercakap kepada media sejurus selepas gempa bumi.

“Kami sedang tidur. Kami rasa seperti nak mati.

“Rumah kami telah rosak dan kami hanya boleh bertahan dengan penuh susah payah,” kata seorang mangsa yang terselamat, Laxman Pun kepada BBC Nepal.

Sementara itu seorang pegawai bank di Jajarkot yang turut menjadi mangsa, Siddha Bohora meluahkan mereka tidak boleh tinggal di mana-mana kerana rumah sudah runtuh dan perlukan khemah untuk berlindung.

“Rumah kami bergoyang seperti buaiyan. Apabila kami lari keluar, ada rumah yang telah runtuh dan debu di merata tempat.

“Kami tidak nampak apa-apa, jadi kami masuk semula ke rumah dan keluar apabila gegeran sudah berhenti,” jelasnya.

Di perbandaran Athaviskot, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi, tiga orang yang mengalami kecederaan kritikal telah dihantar ke hospital di Surkhet dengan helikopter tentera untuk rawatan lanjut.

Pegawai Perbandaran Ravi KC memberitahu bahawa akibat cuaca yang sejuk, mangsa yang kehilangan rumah akan “lebih menderita”.

Perbandaran itu mempunyai populasi kira-kira 35,000 orang dan beratus buah rumah telah hancur, menurut KC.

Pegawai kerajaan tempatan, polis dan tentera telah dikerahkan untuk operasi menyelamat kerana masih terdapat mayat yang perlu dikeluarkan daripada runtuhan.

Gempa bumi itu dicatatkan pada jam 23:47 masa tempatan (18:02 GMT), menurut Pusat Pemantauan dan Penyelidikan Nepal.

Magnitud Gempa Bumi

Kajian Geologi Amerika Syarikat mengukur gempa bumi pada magnitud 5.6 dan berkata ia adalah gempa bumi cetek, bermakna ia berlaku lebih dekat dengan permukaan bumi.

Untuk info, Nepal terletak di sepanjang Himalaya di mana terdapat banyak aktiviti seismik berlaku.

Bulan lepas, gempa bumi bermagnitud 6.3 telah dilaporkan berlaku di daerah barat Bajhang, yang mengakibatkan kecederaan.

Pada tahun 2015, negara itu pernah menderita dengan dua gempa bumi yang teruk, yang mengakibatkan 9,000 orang terkorban dan 22,309 tercedera.

Gempa bumi yang pertama, pada 25 April 2015, ialah gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang menyebabkan banyak kerosakan dan kehilangan nyawa.

Sebilangan besar gempa susulan diikuti, termasuk satu yang berukuran 7.3 pada bulan Mei tahun itu.

Gempa itu telah memusnahkan lebih 800,00 rumah terutamanya di daerah barat dan daerah tengah, menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Bangunan kerajaan, beberapa jalan raya dan monumen bersejarah terkenal di Lembah Kathmandu – tapak warisan dunia UNESCO – turut musnah atau rosak, dengan banyak kampung di utara Kathmandu runtuh.

Sumber: BBC