Tentera Nepal
Kredit: AFP

Lebih 13,500 Banduan Larikan Diri, Tentera Nepal Ambil Alih Kawalan Kathmandu

Athirah

Lebih 13,500 Banduan Larikan Diri, Tentera Nepal Ambil Alih Kawalan Kathmandu

Tentera Nepal dilapor mengambil alih kawalan Kathmandu pada Rabu selepas keganasan terburuk dalam dua dekad menggulingkan perdana menteri dan menyebabkan parlimen terbakar.

Menurut AFP, pihak tentera turut menguatkuasakan perintah berkurung dan memulakan rundingan dengan pemimpin protes bagi mencari jalan penyelesaian terhadap krisis yang berlaku.

Polis melaporkan protes yang berlaku minggu ini turut menyaksikan lebih 13,500 banduan melarikan diri dari penjara di seluruh negara.

Askar-askar dilihat meronda di jalan raya ibu negara yang lengang, melepasi kenderaan dan bangunan yang terbakar, sambil mengeluarkan arahan melalui pembesar suara agar orang ramai kekal tenang.

Perusuh meninggalkan pesan kepada pihak berkuasa

Ketua Tentera Nepal, Jeneral Ashok Raj Sigdel dilaporkan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk wakil gerakan “Gen Z”.

Difahamkan, protes yang bermula pada Isnin lalu bagi membantah larangan media sosial oleh kerajaan dan isu rasuah, didorong oleh penunjuk perasaan muda yang menamakan diri mereka gerakan “Gen Z”.

Ia terus memuncak menjadi ledakan kemarahan di seluruh negara dengan bangunan kerajaan dibakar selepas sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa.

Jurucakap polis, Binod Ghimire mengesahkan dua anggota polis turut terbunuh dalam keganasan pada Selasa.

Pada dinding parlimen Nepal yang hangus terbakar, sekumpulan penunjuk perasaan menconteng mesej berbaur lucah sebagai ucapan selamat tinggal kepada kerajaan yang digulingkan.

Mereka turut meninggalkan pesanan bahawa pihak berkuasa telah memilih ‘lawan yang salah’, sebelum menandatanganinya dengan nama ‘Gen Z’.

Perusuh juga menyerang dan membakar rumah Perdana Menteri, KP Sharma Oli pada Selasa yang kemudiannya meletak jawatan bagi membolehkan satu penyelesaian politik dicapai.

Beberapa laman media sosial telah dipulihkan semula

Bekas Ketua Hakim Mahkamah Agung, Shushila Karki, yang disebut-sebut sebagai calon pemimpin sementara berkata, dialog antara semua pihak adalah kritikal untuk mencari jalan penyelesaian.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula menggesa semua pihak bertenang untuk mengelakkan keganasan yang lebih teruk.

Menurut AFP, penganalisis dan peguam perlembagaan turut menyuarakan pandangan sama, menggesa satu peraturan peralihan dan kerajaan sementara dirangka dengan segera yang merangkumi tokoh dipercayai rakyat.

Beberapa laman media sosial termasuk Facebook, YouTube dan X disekat pada Jumaat, selepas kerajaan memotong akses kepada 26 platform tidak berdaftar, sebelum ia dipulihkan semula.

Bank Dunia melaporkan rakyat tempatan berumur 15 hingga 24 tahun tidak mempunyai pekerjaan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita hanya AS$1,447 (kira-kira RM6,100).

BACA: Macam Irama Kompang, Gelagat ‘Pak Long’ Jual Pisang Goreng Buat Ramai Ketawa

Sumber: AFP