Lebih seratus ekor kucing ditemui mati di sebuah kediaman seorang pesara dari Selatan Perancis.
Memetik daripada laporan News In, bangkai-bangkai tersebut kebanyakannya ditemui di dalam kotak plastik dan kayu yang tertutup. Selain itu, sisa-sisa tupai, tikus dan rahang anjing turut ditemui di kediaman tersebut.
Ahli Persatuan Perlindungan Haiwan, Philipe Desjacques berkata anak saudara pesara ini sendiri terkejut apabila menemui bangkai tersebut di dalam rumah berkenaan selepas lelaki itu dimasukkan ke hospital di Nice.
“Kebanyakan kucing yang telah mati dimasukkan ke dalam satu bekas lain manakala ada yang dikurung hidup-hidup di dalam bekas kotak yang kecil. Turut dijumpai, bangkai kucing di atas sofa rumah berkenaan dipercayai dimakan oleh kucing-kucing yang kelaparan.”
Malah lebih 20 ekor kucing ditemui masih hidup namun didapati kekurangan zat turut diselamatkan dari kediaman milik lelaki yang berusia 81 tahun itu.
Menurut Desjacque kebarangkalian lelaki tua tersebut menghidap sindrom Noah yang menjelaskan mengenai tabiat mengumpul haiwan yang mungkin berpunca daripada kesunyian. Justeru, ini juga daripada sebahagian sindrom Diogenes yang dikaitkan dengan tabiat suka mengumpul barang.
Bagaimanapun, persatuan tersebut akan memfailkan tuduhan terhadap lelaki berkenaan atas dakwaan pengabaian haiwan.
Sumber: News.in