
” Layan Bazar Ramadan Dan Tunggu Jemputan Open House Raya,” Itulah seloroh Dato’ Lee Chong Wei bila ditanya mengenai minatnya menjadi jurulatih badminton.
Bercakap mengenai masa depan sukan badminton negara, mesti anda pernah terfikir kenapa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau mana-mana badan swasta yang lain melantik Dato’ Lee Chong Wei sebagai jurulatih?
Bagi menjawab persoalan tersebut, Chong Wei dalam satu ciapan di laman Twitter miliknya mengakui ada menerima tawaran untuk dilantik sebagai jurulatih. Mana tidaknya, Lee Chong Wei antara pemain paling disegani pada eranya dan mencatat pelbagai rekod luar biasa ketika bergelar pemain.
Dalam ciapan itu juga, Chong Wei mengakui cintanya kepada sukan badminton masih utuh dan ‘berbunga-bunga’ seperti dahulu. Namun, buat masa sekarang beliau belum lagi berniat untuk menjadi jurulatih bagi mana-mana pemain.
“Memang benar ChongWei dapat tawaran, sudah pasti ChongWei masih cinta terhadap sukan badminton, tetapi masa sekarang ChongWei tidak berniat untuk menjadi pelatih.” jelas Lee Chong Wei.
Dia juga sempat berseloroh bahawa dia akan terus ‘lepak’ di Malaysia, melayan bazar Ramadan dan menunggu jemputan rumah terbuka untuk hari raya yang bakal tiba.
“ChongWei akan terus lepak di Malaysia, layan bazar Ramadan dan tunggu jemputan open haus Raya.” selorohnya.
Dalam karier beliau sebagai pemain Lee Chong Wei mencatat rekod pemain paling lama dalam sejarah memegang status ranking nombor satu dunia dan menjadi satu-satunya pemain setakat ini menjuarai paling banyak kejohanan Super Series.
Lee Chong Wei juga berjaya menghadiahkan dua pingat perak Sukan Olimpik untuk Malaysia sepanjang kariernya sebagai pemain. Lee Chong Wei secara rasmi mengumumkan persaraan pada 13 Jun 2019 selepas 19 tahun bergelar pemain badminton utama negara.
Sumber: Lee Chong Wei