
Layak Atau Tidak Seseorang Mewarisi Harta Jika Membunuh Secara Tidak Sengaja?
Dalam Islam, perbuatan membunuh merupakan salah satu daripada dosa besar yang ditetapkan Allah SWT.
Seperti diketahui dosa mensyirikkan Allah tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT, manakala dosa membunuh pula tidak akan terampun selain daripada taubat.
Mereka yang melakukan perbuatan ini sebaliknya perlu menjalani hukuman yang setimpal dengan apa yang mereka telah lakukan tersebut.
Baru-baru ini, timbul satu persoalan yang ditanyakan kepada Dr Zulkifli al-Bakri berkenaan kelayakannya untuk mewarisi harta selepas menyebabkan kematian ibunya secara tidak sengaja.
Dalam Islam, terdapat ketetapan di mana, seseorang yang melakukan perbuatan membunuh tidak layak untuk mewarisi harta.
Namun bagaimana pula bagi mereka yang melakukan perbuatan itu secara tidak sengaja?
Mari kita ikuti kupasan dan jawapan daripada Dr Zulkifli berkenaan isu tersebut.
Assalamualaikum Dato’, Saya nak tanya, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan ibu saya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Yang lain-lain hanya setakat patah tulang dan cedera ringan. Yang memandu pada ketika itu adalah saya sendiri.
Persoalan saya, adakah saya dapat bahagian dalam faraid sebab saya dimaklumkan saya tiada bahagian dalam faraid sebab telah menyebabkan kematian dalam kemalangan tersebut. Saya kemalangan sebab saya nak mengelak ada kereta tengah memotong di hadapan kereta saya. Jadi saya terbabas tepi langgar pokok. Saya takut saya termakan hak orang lain. Terima kasih.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
(Surah al-Nisa’: 7)
Undang-undang Islam telah mengatur segala urusan berkaitan harta warisan dan telah menjelaskan kepada kita sebab-sebab yang layak bagi seseorang untuk mewarisi harta pusaka serta bahagian-bahagian yang layak diperolehi bagi setiap individu. Begitu juga syara’ telah menjelaskan perkara-perkara yang menghalang seseorang itu dari mewarisi harta pusaka dan salah satu darinya adalah membunuh.
Halangan yang menghalang seseorang daripada mewarisi harta pusaka ada tiga, iaitu:
Segala bentuk perhambaan
Pembunuhan
Perbezaan agama antara Islam dan kafir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/77-78).
Imam al-Rahabi menyatakan : Dan menghalang seseorang itu daripada perwarisan, salah satu daripada tiga sebab, perhambaan dan pembunuhan dan perbezaan agama.(Lihat: Matan al-Rahabiyyah; hlm.3)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.anhu bahawa rasulullah SAW bersabda :
القاتلُ لا يَرِثُ
Maksudnya : “Orang yang membunuh tidak boleh mewarisi.”
Hadith ini menunjukkan bahawa pembunuh tidak boleh mewarisi harta peninggalan orang yang dibunuh samada membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja. Ia merupakan pandangan kebanyakan ulama. Manakala, sebahagian yang lain pula berpandangan orang yang membunuh kerana tidak sengaja boleh mewarisi harta si mati yang terbunuh. Ia juga merupakan pendapat Imam Malik. (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 15/368)
Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa hadith ini merupakan dalil kepada bahawasanya pembunuh tidak mewarisi harta orang yang dibunuh sama ada pembunuhan tersebut dari jenis القتل الخطأ (pembunuhan tidak sengaja) atau القتل عمدا (pembunuhan secara sengaja) dan ini merupakan pegangan ramai ulama’. .
Menjawab bagi persoalan di atas, dalam isu ini, kami berpandangan saudara masih lagi boleh mewarisi harta pusaka ibu kerana dalam situasi ini saudara tidaklah berniat dengan sengaja melakukan hal tersebut dan kes ini juga tidak termasuk dalam kategori membunuh dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Sebaliknya orang yang cuai dalam pemanduan kereta sehingga menyebabkan kematian pihak lain itu lah yang termasuk dalam kategori membunuh dengan sengaja ataupun tidak sengaja.
Membunuh tanpa sengaja dalam kemalangan jalan raya berpunca dari tiga sebab utama:
Menggunakan kereta yang tidak selamat untuk dipandu
Cuai dalam pemanduan kereta seperti menggunakan telefon ketika memandu.
Melanggar undang-undang jalan raya.
Justeru kami katakan supaya merujuk kepada mahkamah atau pihak-pihak berautoriti dalam menentukan adakah ia termasuk dalam kategori membunuh dengan sengaja ataupun tidak sengaja.
Semoga allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya.
Wallahua’lam
Sumber: Maktabah Al Bakri