Lawatan Kerja YB Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Ke Chengdu Dan Hangzhou
Gambar Hiasan
Tiada Kategori

Lawatan Kerja YB Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Ke Chengdu Dan Hangzhou

Siti Sakinah

Lawatan Kerja YB Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Ke Chengdu Dan Hangzhou

REPUBLIK RAKYAT CHINA, 12 JUN 2025 – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan kerja ke Chengdu dan Hangzhou bagi menghadiri Persidangan 2 nd Belt and Road Conference on Science and Technology Exchange (BRST) dan program pengukuhan kerjasama dengan institusi-institusi berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) di Chengdu dan Hangzhou, Republik Rakyat China (RRC) dari 10 hingga 14 Jun 2025.

Persidangan BRST yang berlangsung di Chengdu pada 11 Jun 2025 adalah yang kali kedua ianya diadakan, dengan bertemakan “Together for Innovation, Development for All – Jointly Building a Scientific and Technological Innovation Community for the Belt and Road” dan bertujuan memberikan pentas bagi pertukaran teknologi, pemindahan ilmu pengetahuan dan penyelarasan dasar STI antara negara-negara yang terlibat dalam kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt & Road – BRI).

Sebagai salah sebuah negara yang bekerjasama rapat dengan China melalui BRI, keterlibatan Malaysia dalam acara ini adalah signifikan bukan sahaja demi memperkasakan kerjasama STI menerusi platform pelbagai hala BRI, malah untuk menonjolkan keterlihatan Malaysia di peringkat global, di mana peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 sewajarnya dioptimumkan bagi menyumbang kepada kepesatan ekonomi nasional dan serantau.

YB Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya menekankan kepentingan hubungan diplomatik Malaysia-China dan kerjasama STI yang digerakkan menerusi mekanisme Pelan Tindakan Kerjasama STI Jalur dan Laluan (Belt and Road Science, Technology and Innovation Cooperation Action Plan). Melalui ucapannya lagi, YB Tuan Chang Lih Kang mengiktiraf BRI sebagai pemacu kolaborasi saintifik dan kemajuan teknologi dalam usaha memperluaskan pendigitalan, memanfaatkanpotensi tenaga baharu muncul seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, bioteknologi dan teknologi hijau, dan mencapai pembangunan mampan dan inklusif.

“Malaysia dan China mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh sejak sekian lama, yang terus berkembang hasil daripada pertukaran politik, ekonomi dan budaya yang erat sepanjang 50 tahun lalu. China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama enam belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009. Dalam konteks dua hala, Malaysia bersedia untuk membangunkan solusi berteknologi tinggi secara bersama, memperkukuh ekosistem inovasi rentas sempadan, serta memupuk bakat generasi akan datang.”

Penglibatan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam Persidangan BRST ini juga adalah salah satu kesinambungan daripada lawatan TYT Presiden RRC Xi Jinping ke Malaysia pada 15 hingga 17 April 2025 yang lalu dan juga oleh Premier RRC TYT Li Qiang pada 26 hingga 27 Mei 2025.

YB Tuan Chang Lih Kang juga turut menghadiri 2 nd Belt and Road Ministerial Meeting on Science, Technology and Innovation yang menemukan Menteri-menteri STI dari negara-negara yang telah melaksanakan kerjasama dengan China menerusi platform BRI. Dalam sesi ini, beliau telah bertukar pandangan dan menawarkan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dengan negara-negara rakan BRI bagi mewujudkan sebuah konsortium penyelidikan yang bertumpu kepada kerjasama dalam bidang AI, blockchain, integrasi ekonomi digital dan transisi tenaga hijau.

YB Tuan Chang Lih Kang juga mengambil kesempatan dari keberadaan di Chengdu untuk melaksanakan lawatan penandaarasan di Institut Fizik Barat Daya (SWIP) bagi meninjau potensi teknologi pelakuran dan meneliti kebolehlaksanaan di Malaysia sebagai sebahagian dari usaha mengenal pasti sumber tenaga yang lestari untuk masa depan pembangunan negara.

Seterusnya, di Hangzhou, satu perjumpaan dua hala juga diadakan bersama Menteri Sains dan Teknologi China, TYT Yin Hejun pada 12 Jun 2025. Perjumpaan ini adalah susulan kepada usaha sama STI dua hala yang membabitkan perkembangan positif seperti berikut:

(a) Program Penyelidikan Bersama Malaysia-China – enam (6) projek akan ditaja secara bersama oleh kedua-dua negara dalam bidang teknologi penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, kecerdasan buatan, blockchain dan teknologi bahan termaju;(b) Program Pertukaran Kepakaran Malaysia-China – sepuluh pakar STI dari Malaysia dan sepuluh dari China akan terlibat dalam program pertukaran selama enam bulan di agensi kerajaan, institut penyelidikan dan universiti di Malaysia dan China, dalam bidang teknologi penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, kecerdasan buatan, blockchain, teknologi bahan termaju dan mikroelektronik; dan

(c) Program Makmal Bersama Malaysia-China – platform yang terbina melalui pemeteraian MoU sewaktu lawatan TYT Presiden RRC Xi Jinping ke Malaysia pada 15 hingga 17 April 2025 ini menghubungkan institusi akademik dan industri bagi tujuan kolaborasi penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersialan (R&D&C) dalam bidang kecerdasan buatan, blockchain, bioteknologi, teknologi bahan termaju dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.

Di samping itu, YB Tuan Chang Lih Kang telah melaksanakan lawatan kerja di Universiti Zhejiang, Syarikat BrainCo dan Syarikat Deep Robotics. Pertemuan dengan pihak Universiti Zhejiang bertujuan menjemput Universiti Zhejiang untuk sama-sama terlibat dalam Program Makmal Bersama Malaysia-China dengan menumpukan kepada usaha sama untuk solusi inovatif dalam bidang kecerdasan buatan dan blockchain. Manakala kunjungan terhadap syarikat BrainCo dan Deep Robotics adalah lawatan penandaarasan yang membabitkan bidang robotik selaras dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Robotik Kebangsaan 2021-2030 yang diterajui oleh Kementerian ini.