Laut Bima Di Indonesia Berubah Jadi Seakan ‘Padang Pasir’, Dipercayai Dicemari Air Limbahan

Fazidi

Penduduk di sekitar Teluk Bima, di Nusa Tenggara Barat, Indonesia dikejutkan dengan fenomena aneh apabila permukaan Laut Bima yang biasanya kelihatan normal, berubah menjadi kekuningan seakan padang pasir, baru-baru ini.

Menurut laporan Merdeka.com, kejadian berkenaan mungkin berpunca daripada pencemaran air limbahan atau berlaku akibat fenomena sea snot atau lendir laut. Ada juga yang mendakwa pencemaran berkenaan berpunca daripada operasi syarikat petroleum negara, Pertamina.

Bagaimanapun, punca kejadian sebenar belum diketahui memandangkan sampel air yang diambil masih lagi dalam penelitian makmal oleh DLH Kabupaten Bima. Kejadian itu dilaporkan berlaku sejak Selasa lalu.

Akibat kejadian berkenaan, penduduk tempatan juga melaporkan bahawa terdapat ratusan ikan ditemui mati. Ia sekaligus menjejaskan pendapatan nelayan di situ beberapa hari ini.

Memetik laporan Tribun Lombok pula, belasan penduduk tempatan termasuk seorang warga emas dilapor mengalami keracunan makanan selepas memakan ikan pari yang diperolehi daripada kawasan Laut Bima yang tercemar itu.

Wanita berusia 50 tahun itu dikatakan menemui ikan pari sebelum mengambilnya untuk dijadikan juadah. Menurut anaknya, wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap ikan pari, bagaimanapun kali ini, wanita berkenaan mengalami simptom pening kepala dan muntah selepas memakan ikan berkenaan.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan dan pihak berkuasa tempatan mengesahkan kejadian tersebut.

Sumber: Merdeka.com, Tribune Lombok