
Latihan Kuasa Tembakan (LKT) tahun 2022 yang telah kita saksikan bersama di Kem Syed Sirajuddin hari ini bukan sekadar acara tahunan bagi Tentera Darat Malaysia (TDM). Malah lebih daripada itu, ia merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan iaitu memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.
Tidak sekadar itu, LKT ini juga merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan yang MINDEF dan ATM laksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu. Dengan matlamat, memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset yang mereka perlukan biarpun mendepani era pasca pandemik yang serba mencabar ini.
Sebagai contoh ialah Helikopter MD530G. Isu mengenainya telah dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user yang sangat memerlukannya iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). Hasilnya, hari ini kita semua dapat menyaksikan Helikopter MD530G telah mula dimanfaatkan dan dapat diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.
Dengan pengujian ini, ia sekaligus memberi peluang kepada ATM khususnya TDM untuk menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keupayaan aset mereka pada masa akan datang. Dalam konteks ini, ia tidak terhad kepada Helikopter MD530G sahaja tetapi juga pelbagai lagi aset yang terlibat dalam LKT tahun ini.
Berhubung LKT tahun ini, secara umumnya ia bukan sahaja penting bagi menguji pengurusan pasukan serta keupayaan dan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup. Malah, ia juga medan terbaik untuk memperagakan keupayaan anggota TDM dalam mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan yang sophisticated serta terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan.
Bukan itu sahaja, LKT ini berupaya mempamerkan aturgerak dan keupayaan combat team dalam operasi ketumbukan 3 Divisyen selaku Divisyen Gabungan Penggempur sekaligus memberi pendedahan kepada penuntut Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).
Untuk tahun ini, segmen tembakan langsung LKT telah berlangsung selama kira kira 2 jam dengan pelaksanaan maneuver dan kuasa tembakan yang melibatkan aset Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, PUTD dan Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ia melibatkan seramai 2,300 pegawai dan anggota daripada pelbagai kepakaran serta 644 pelbagai jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan. Ini termasuklah PT 91M PENDEKAR, AV8 Gempita, AV 4 Lipan Bara, ACV 300 Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV).
Manakala aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120MM dan 81MM serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).
Turut dilibatkan ialah helikopter dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM, Helikopter EC 725 dari TUDM serta Helikopter Agusta A109 LOH dan MD530G dari PUTD.
Manakala dalam segmen tembakan tidak langsung sebentar lagi, keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini akan dipertontonkan kepada para penuntut MTAT yang melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.
Secara keseluruhannya, LKT tahun ini telah berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancang oleh TDM. Ia sekaligus menyerlahkan lagi kepada umum bahawa kesiagaan ATM khususnya TDM dalam melaksanakan tugas utamanya iaitu mempertahankan keselamatan negara terus berada pada tahap tertinggi. Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada TDM terutama semua anggota yang terlibat dalam acara hari ini.


