“Large Hadron Collider CERN” Dihidupkan Kali Ketiga, Jangka Teroka Lebih Banyak Rahsia Alam Semesta
Lebih kurang satu dekad yang lalu, Large Hadron Collider, pemecut zarah paling berkuasa di muka Bumi telah membuktikan kewujudan zarah subatom yang dipanggil Higgs boson.
Memetik CNN, ahli fizik di Pertubuhan Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) yang berpusat di sempadan Switzerland-Perancis menghidupkan CERN LHC sekali lagi untuk cuba memahami Boson Higgs, partikel sub-atomik yang lain dan juga dark matter atau jirim gelap dengan lebih mendalam. Jirim gelap adalah satu bahan yang tidak dapat dilihat dan sukar dikesan, dek kerana ia tidak menyerap, memantul atau memancarkan apa-apa cahaya.
CERN LHC mempunyai bentuk seperti cincin dengan panjang bulatan 27 kilometer. Ia terletak jauh di bawah Pergunungan ALPS dan dibina daripada magnet superkonduktor serta disejukkan sehingga ‑271.3°C (-456 F), lebih sejuk daripada angkasa lepas.
Difahamkan, alat ini membolehkan atom berlanggar sesama sendiri dan membenarkan saintis melihat apa yang ada di dalam atom berkenaan.
Sinaran proton sudahpun bergerak di dalam pemecut CERN LHC sejak April lalu, apabila ia dihidupkan buat pertama kali selepas kompleks berkenaan ditutup sejak tiga tahun lalu untuk penyelenggaraan dan dinaik taraf.
Selasa lalu, saintis di CERN telah mula mengumpul data eksperimen mereka dan Large Hadron Collider akan beroperasi sepanjang masa selama empat tahun berturut-turut.
Difahamkan, ia merupakan kali ketiga mesin besar itu beroperasi dengan ketepatan dan potensi penemuan yang lebih besar berbanding sebelum ini selepas sistem pembacaan dan pemulihan data yang dinaik taraf serta dipasang dengan alat pengesan baharu bersama infrastruktur komputer.
Menurut Ketua Pengarah CERN, Fabiola Gianotti, mereka telah melakukan penyelidikan ini dengan harapan akan menemukan satu kejutan yang tidak dijangka, maka itu akan menghasilkan keputusan yang terbaik.
“Namun, semua itu juga bergantung kepada alam semula jadi bagaimana ia menjawab persoalan dalam hukum fizik secara asas.
“Kami masih lagi mencari jawapan kepada persoalan berkaitan dengan jirim gelap, mengapa Boson Higgs sangat ringan dan beberapa lagi persoalan yang lain,” jelasnya, lapor CNN.
Apa itu boson Higgs
Ahli fizik François Englert dan Peter Higgs merupakan orang pertama yang mengeluarkan teori kewujudan Boson Higgs pada tahun 1960. Standard Model Fizik telah membentangkan asas bagaimana zarah asas dan daya berinteraksi dalam alam semesta.
Walau bagaimanapun, teori itu gagal menjelaskan bagaimana zarah mendapat jisim sebenarnya. Saiz zarah atau bit jirim boleh menjadi lebih besar atau lebih kecil daripada atom. Elektron, proton dan neutron adalah contoh zarah yang membentuk atom. Buat masa ini, saintis percaya bahawa Boson Higgs adalah partikel yang memberikan jisim kepada semua jirim.
Pada tahun 2013, setahun selepas menemukan zarah ini, Englert dan Higgs telah memenangi hadiah Nobel diatas ramal yang dikemukakan mereka. Tapi, masih banyak rahsia tentang boson Higgs yang belum berjaya dirungkai dan memecahkan rahsia tersebut boleh membantu saintis memahami secara mendalam tentang alam semesta berserta misteri-misteri besar kosmos yang lain.
Large Hadron Collider, yang telah dibuka sejak tahun 2008 merupakan satu-satunya tempat di mana Boson Higgs boleh dikaji dengan lebih terperinci.
CERN akan mengkaji sifat jirim dibawah suhu dan ketumpatan yang tinggi dan juga akan mencari penjelasan untuk jirim gelap serta fenomena baharu sama ada secara langsung atau tidak dengan mengukur tepat sifat-sifat zarah itu.
“Walaupun semua keputusan yang diperoleh setakat ini adalah konsisten dengan Model Standard, tetapi masih terdapat banyak ruang untuk fenomena baharu terjadi melebihi apa yang diramalkan oleh teori ini,” jelas ahli teori CERN, Michelangelo Mangano dalam satu kenyataan media.
Difahamkan, jirim gelam dianggap membentuk sebahagian besar jirim dalam alam semesta dan keupayaannya untuk mencipta herotan graviti di angkasa lepas berjaya dikesan sebelum ini.
“Boson Higgs sendiri mungkin akan menunjukkan fenomena baharu, termasuk beberapa yang mungkin bertanggungjawab terhadap jirim gelap di alam semesta,” kata Luca Malgeri, jurucakap CMS (Compact Muon Solenoid).
BACA: CIMB Naikkan Kadar Asas Sebanyak 0.25 Peratus Mulai 13 Julai Ini
BACA JUGA: Tular, Langit ‘Bertukar’ Hijau Sebelum Berlaku Ribut Gemparkan Warga Dakota, Amerika
Sumber: CNN