SHAH ALAM, 9 Ogos — Pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi amaran dan nasihat terlebih dahulu kepada individu dikesan merokok atau meminum minuman keras di taman awam di Selangor, sebelum mengenakan kompaun.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendekatan secara pendidikan itu dilaksanakan untuk tempoh tiga bulan bagi membiasakan masyarakat dengan larangan berkenaan.
Katanya, larangan merokok dan meminum minuman keras di taman awam berkuat kuasa mulai 30 Julai lepas, melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan Dua Tahun 2020.
“Kita akan mulakan (larangan merokok dan meminum minuman keras di taman awam) sebagaimana pelaksanaan larangan merokok di premis makanan dan restoran suatu ketika dahulu.
“Jika perkara terlarang seperti menghisap rokok dan minum arak dibuat, pesalah boleh dikompaun tidak melebihi RM1,000 seperti termaktub dalam undang-undang kecil peraturan PBT negeri Selangor,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen Larangan Meminum Arak dan Menghisap Rokok di Taman Awam peringkat negeri Selangor.
Amirudin berkata kerajaan negeri juga sedia mengkaji untuk memperluaskan larangan tersebut ke kawasan awam lain serta bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai larangan berkenaan.
Pada 14 Julai lepas, exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han mengumumkan kerajaan Selangor melaksanakan larangan menghisap rokok dan vape serta minum arak di semua taman permainan dan rekreasi di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Larangan itu dibuat selepas kerajaan negeri meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil Taman 2005 PBT negeri Selangor (UKK Taman 2005).
— BERNAMA