Gambar Via Bernama

Laporan Polis Dibuat, Dakwa Pegawai Kanan MPT Salah Guna Kuasa

Sofea

TAWAU, 21 Ogos (Bernama) — Empat individu hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang didakwa menyalahgunakan kuasa berhubung pembayaran projek kecil melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Sebatik dan Balung.

Menurut wakil kumpulan itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Batu Mohd Razif Nizam Abdullah laporan tersebut dibuat susulan maklumat yang diterimanya daripada kakitangan MPT mendakwa pegawai terbabit mengarahkan agar semua pembayaran bagi projek kecil di bawah peruntukan ahli DUN (ADUN) bagi tiga DUN terbabit dibayar selepas pilihan raya negeri.

“Saya dimaklumkan perkara itu selepas bertanyakan status pembayaran tuntutan bagi projek-projek terlibat yang dihantar ke MPT sebelum pembubaran DUN Sabah dan arahan itu hanya melibatkan tiga DUN berkenaan sahaja, jadi bagi kami itu adalah satu bias atau berat sebelah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini.

Menurutnya tuntutan terbabit melibatkan lebih 30 projek kecil yang telah siap di tiga DUN berkenaan dengan setiap projek bernilai antara RM10,000 dan RM20,000.

Katanya perkara itu juga dikhuatiri akan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat yang mungkin menyalahkan wakil rakyat ekoran kelewatan pembayaran.

Untuk rekod, tiga ADUN terbabit iaitu Datuk Abd Muis Picho (Sebatik), Datuk Osman Jamal (Balung) dan Datuk Hamisa Samad (Tanjung Batu) adalah antara 32 ADUN yang menyatakan sokongan kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sebelum DUN dibubarkan pada 30 Julai lepas.

— BERNAMA