Laporan Awalan Akaun Satelit Sukan 2022
Akaun Satelit Sukan 2022 dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mengukur perkembangan industri sukan yang merangkumi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Statistik ini menyediakan maklumat penting kepada penggubal polisi dan pemegang taruh dalam memantau perkembangan industri sukan. Penerbitan ini merangkumi statistik mengenai pengeluaran, eksport, import dan
guna tenaga dalam industri sukan.
Nilai Ditambah Kasar Industri Sukan

Industri sukan menjana RM49.5 bilion kepadaekonomi dengan nilai ditambah kasar berjumlah RM19.6 bilion pada tahun 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 12.1 peratus berbanding 1.9 peratus pada tahun sebelumnya Pertumbuhan ini disokong oleh Perkhidmatan sukan dan Perdagangan sukan yang masing-masing bertumbuh sebanyak 15.9 peratus dan 16.3 peratus.
Sumbangan Nilai Ditambah Kasar Mnegikut Industri

Nilai Ditambah Kasar Industri Sukan (NDKIS) menyumbang 1.1 peratus kepada KDNK pada tahun 2022. Industri sukan didominasi oleh Perkhidmatan sukan dengan sumbangan sebanyak 37.1 peratus dengan nilai RM7.3 bilion pada tahun 2022. Ini diikuti oleh Perdagangan sukan sebanyak RM6.9 bilion (35.2%), Pembuatan produk sukan RM5.2 bilion (26.6%) dan Pembinaan infrastruktur sukan RM0.2 bilion (1.1%) .

Eksport produk sukan berjumlah RM11.5 bilion (2021: RM9.7 bilion) menyumbang 0.8 peratus kepada jumlah eksport negara pada 2022. Penyumbang utama produk sukan adalah barangan sukan dengan sumbangan sebanyak 91.9 peratus. Sumbangan selebihnya adalah eksport perkhidmatan sukan yang merekodkan 8.1 peratus pada 2022.
Import produk sukan bernilai RM6.1 bilion (2021: RM5.2 bilion) dipacu oleh barangan sukan dengan sumbangan sebanyak 94.4 peratus diikuti perkhidmatan sukan 5.6 peratus. Import bagi produk sukan menyumbang 0.5 peratus kepada keseluruhan import pada 2022. Oleh itu, eksport bersih produk sukan merekodkan nilai RM5.4 bilion (2021: RM4.5 bilion) pada tahun 2022.
Guna Tenaga Dalam Industri Sukan

Guna tenaga dalam industri sukan adalah seramai 194.4 ribu orang pada 2022 dengan sumbangan 1.3 peratus kepada jumlah guna tenaga. Penyumbang terbesar guna tenaga dalam industri ini adalah Perkhidmatan sukan
iaitu 39.9 peratus, diikuti oleh Pembuatan produ sukan (31.6%), Perdagangan sukan (27.7%) dan Pembinaan infrastruktur sukan (0.8%).
Sumbangan Industri Sukan Kepada KDNK Negara Terpilih

Industri sukan di Malaysia menyumbang 1.1 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2022. Statistik industri sukan juga diterbitkan di negara lain seperti United States (US) yang menyumbang 2.2 peratus kepada KDNK US pada tahun 2022, diikuti oleh China 1.1 peratus dan United Kingdom (UK) 0.8 peratus.