Seorang lelaki dari India mencipta rekod kebangsaan baharu apabila dia dikatakan merenung ke arah matahari selama sejam secara berterusan tanpa berkelip atau memakai kaca mata, lapor Oddity Central.
Menurut laporan, lelaki tersebut merupakan seorang pesara kerajaan yang berusia 70 tahun dan berasal dari negeri Uttar Pradesh, India. Lelaki itu dikenali sebagai Encik MS Verma.
Dia dikatakan berjaya membuat rekod kebangsaan baharu yang sangat pelik iaitu dengan merenung matahari selama sejam.
Hampir 25 tahun dia telah berlatih untuk mendapatkan pencapaian yang luar biasa ini. Dia mendapat inspirasi daripada seorang pakar kerohanian di negara itu.
Percubaan warga emas itu untuk mencipta rekod tersebut dipantau oleh wakil daripada India’s Book of Records serta sekumpulan ahli politik dan juga pakarperubatan.
Selepas sejam merenung secara terus ke arah matahari mata Encik Verma masih disifatkan normal walaupun dia memandang matahari tanpa cermin mata hitam dan tanpa berkelip.
Encik Verma berjaya memecah rekod sebelum ini yang dibuat beberapa tahun lalu oleh seorang lelaki India yang dikatakan berjaya merenung matahari tanpa cermin mata hitam dan tanpa berkelip selamat 10 minit.
Dia turut mengakui bahawa dia sudah bersiap sedia untuk melakukan aksi yang sama bagi memecah rekod dunia Guinness World Records selepas ini.
Walaupun Encik Verma tampak selalu senyum dan tiada sebarang kesan ke atasnya selepas mencipta rekod itu, pakar-pakar tetap memberi amaran bahawa tindakannya merenung matahari secara berterusan itu agak berbahaya dan berisiko untuk mengalami kerosakan retina mata yang mungkin tidak dapat dipulihkan.
Namun begitu, masih ada sesetengah orang yang berani bersumpah bahawa ada faedah dari segi kesihatan mengenai ‘sungazing’ iaitu amalan merenung matahari tanpa sebarang perlindungan mata.
Malah ada juga beberapa orang guru di sana yang memanggil ‘sungazing’ itu sebagai salah satu bentuk perubatan percuma.
Sumber: Oddity Central