Air sungai melimpah, laluan darat terjejas teruk, itu antara cabaran besar dihadapi pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah dalam menyampaikan bantuan ke kawasan pedalaman di negeri itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini berkongsi foto-foto situasi penyerahan sumbangan di Kampung Lingga, Kiulu di Tuaran, Sabah.
Jelasnya, usaha pihak YADIM Sabah pada kali ini agak mencabar berbanding biasa disebabkan rintangan semasa, maka alternatif lain harus digunakan demi mahu memastikan sumbangan tersebut benar-benar ‘sampai’ ke tangan penerima.
“Disebabkan air sungai yang melimpah dek hujan lebat, laluan biasa tidak dapat diakses walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“(Maka dengan itu) YADIM Sabah bersama pengarahnya, Tuan Haji Samin Ongki meniti jambatan gantung membawa 65 bakul makanan berisi barangan keperluan harian untuk disampaikan kepada penduduk Kampung Lingga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Situasi semasa sumbangan disampaikan | Gambar: Dr. Zulkifli/YADIM Sabah
Situasi semasa sumbangan disampaikan | Gambar: Dr. Zulkifli/YADIM SabahDalam pada itu, kata Dr. Zulkifli, walaupun cabaran tersebut agak ‘menguji’, ditambah pula kekangan pandemik COVID-19, namun tanggungjawab dalam menyampaikan amanah tetap perlu diteruskan.
“Saya sentiasa mengingatkan agensi-agensi agama di bawah saya untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah.
“Pandemik COVID-19 masih berada dalam kalangan kita. Justeru, tidak ada istilah ‘berehat’ dalam penyaluran sumbangan #MusaadahCOVID19 di seluruh Malaysia.
“Saya ingin umat Islam tahu bahawa setiap ringgit yang diamanahkan sama ada melalui zakat, waqaf, sedekah dan lain-lain, sentiasa dimanfaatkan sebaiknya kepada rakyat yang memerlukan bantuan,” tambahnya lagi.
Bagi orang awam yang ingin menyumbang, YADIM boleh dihubungi melalui laman Facebook rasmi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – Yadim atau laman sesawang www.yadim.com.my.
Situasi semasa sumbangan disampaikan | Gambar: Dr. Zulkifli/YADIM Sabah
Situasi semasa sumbangan disampaikan | Gambar: Dr. Zulkifli/YADIM SabahSumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri