kacang ketot mechabot
Kredit: Monsta/YouTube
Tiada Kategori

Lagu Kacang Ketot Versi MechaBot Dah ‘Sampai’ Jepun

Hannah

Lagu Kacang Ketot Versi MechaBot Dah ‘Sampai’ Jepun

Di Malaysia, sebut sahaja lagu Kacang Ketot, pasti ramai yang terus teringat pada melodi ringkas yang mencuit hati.

Lagu ini bukan sekadar menghiburkan, malah sudah menjadi sinonim dengan gaya loghat Utara yang mencuri tumpuan sejak dahulu.

Beberapa tahun lalu, lagu ini pernah mencetuskan fenomena apabila tular di media sosial. Semuanya gara-gara seorang kanak-kanak yang menyanyikannya dalam versi loghat Utara.

Lenggok sebutan yang bersahaja, ditambah pula dengan gaya seakan-akan mendodoikan, membuatkan netizen terhibur dan ramai yang menirunya.

Kembali popular melalui Mechamato

Tapi, siapa sangka selepas reda seketika, lagu Kacang Ketot kembali ‘hidup’ apabila dimasukkan dalam siri animasi popular Mechamato.

Umum diketahui, animasi tempatan itu memang sudah sedia mempunyai peminat tegar bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

Kemunculan lagu itu dalam animasi berkenaan telah mencetuskan semula ‘demam’ Kacang Ketot, membuatkan ia trending di platform media sosial.

“Kenapa tidoq, bukan tidur?” – Mungkin baru belajar bahasa Melayu, netizen Jepun sampai confuse

Lebih menarik, fenomena ini rupanya menyeberang sempadan apabila turut mendapat perhatian peminat dari Jepun.

Baru-baru ini, pihak Mechamato berkongsi di Facebook mereka tentang bagaimana lagu Kacang Ketot berjaya mencuit hati penonton luar negara.

Dalam salah satu tangkap layar, seorang netizen Jepun secara berseloroh bertanya mengapa watak MechaBot menyebut perkataan “tidoq” dan bukannya “tidur”.

kacang ketot mechabot
Gambar: Mechamato/FB

Tidak menunggu lama, hantaran itu pantas meraih perhatian ribuan netizen tempatan.

Perkara itu nyata mengundang ketawa ramai kerana ia membuktikan loghat Utara yang digunakan dalam lagu berkenaan berjaya menarik perhatian penonton luar negara.

Lirik versi Jepun pula dikongsi

Lebih mencuit hati, pihak Mechamato kemudian membuat satu lagi hantaran baharu yang lebih menghiburkan. Kali ini mereka berkongsi lirik lagu Kacang Ketot versi Jepun.

Dengan kapsyen bergurau “Nak nyanyi guna loghat apa di Jepun?”, ia sekali lagi mencuri perhatian ramai.

kacang ketot mechabot
Gambar: Mechamato/FB

BACA: Kucing Maya Kesayangan Ramai, Maru Sudah Tiada

Sumber: Mechamato/FB