Kylian Mbappe Tuntut Pampasan 55 Juta Euro Daripada PSG
Penyerang terkemuka Perancis, Kylian Mbappe, masih mempunyai isu tertunggak dengan Paris Saint Germain (PSG) dan pemegang saham utamanya, Qatar Sports Investments, berhubung tunggakan gaji yang belum dibayar.
Menurut NDTV, Mbappe telah merujuk perkara ini kepada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas mendapati PSG berhutang sebanyak 55 juta Euro terhadap dirinya.
Jumlah ini merangkumi gaji bagi tiga bulan terakhir kontraknya (April, Mei dan Jun) serta bonus etika bagi tempoh tersebut.
Difahamkan, ia juga termasuk baki terakhir bonus penandatanganan sebanyak 36 juta Euro yang sepatutnya diterima pemain itu pada Februari lalu.
Pada pertengahan Jun, PSG telah menerima notis rasmi daripada pihak Mbappe, menurut laporan akhbar Perancis, Le Monde.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa Mbappe telah memfailkan aduannya kepada jawatankuasa undang-undang Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP).
Ini berdasarkan Artikel 259 Piagam Bola Sepak Profesional Perancis, yang menyatakan bahawa “gaji mesti dibayar oleh kelab kepada pemain di bawah kontrak pada hari terakhir setiap bulan, mengikut syarat undang-undang biasa”.
Berikutan prosedur tersebut, perkara ini telah dirujuk kepada UEFA melalui Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).
Mbappe telah menyertai Real Madrid selepas tujuh tahun bersama PSG, di mana beliau menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut.
Bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua pihak berakhir dengan konflik, termasuk laporan mengenai pertengkaran lisan antara Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dan Mbappe.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu telah memenangi Piala Super UEFA dalam perlawanan pertamanya bersama Real Madrid.
Selain itu, Mbappe turut terlibat dalam keputusan seri 1-1 pasukannya menentang Mallorca dalam perlawanan pembukaan La Liga.
BACA: Impian Jadi Nyata, Kylian Mbappé Kini Milik Real Madrid
BACA: Euro 2024: Cristiano Ronaldo Sarung But “Pink” Milik Bruno Fernandes?
BACA: PSG Sedia ‘Lamar’ Pemain Barcelona, Lamine Yamal Lebih RM1 Bilion
Sumber: NDTV