Kuala Lumpur, 11 Mac – Seorang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disahkan positif COVID-19 pada 3 Mac lalu.
Menurut KWSP, ahli berkenaan telah berurusan di pejabat cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu antara 2.00 hingga 2.30 petang.
“Kami telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli tersebut dan telah menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan.
“Pegawai-pegawai lain dari pejabat tersebut juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan,” tulis KWSP di laman Facebook mereka.
Susulan itu, premis itu telah ditutup untuk pembersihan sehingga 13 Mac ini dan akan beroperasi semula pada Isnin (16 Mac).
Tambah KWSP, semua kaunter dan permukaan terdedah pejabat itu dibersihkan secara berterusan manakala pegawai diminta membersihkan tangan mereka setiap 30 minit.
Suhu badan pelawat juga diperiksa sebelum memasuki premis sebagai langkah berjaga-jaga.
Walaubagaimanapun, kaunter-kaunter KWSP di lokasi lain akan terus beroperasi seperti biasa namun ahli digalakkan untuk membuat transaksi secara atas talian bagi mengelakkan risiko penularan.
Sumber: KWSP