kurung anak dalam penjara
Kredit Unsplash

Kurung Anak Dalam Penjara Kerana Berak Dalam Seluar, Pegawai Polis Disiasat

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kurung Anak Dalam Penjara Kerana Berak Dalam Seluar, Pegawai Polis Disiasat

Seorang pegawai polis di Florida dilaporkan telah mengurung anak lelakinya yang berusia tiga tahun ke dalam penjara serta menggarinya selepas anaknya itu buang air besar dalam seluar, lapor Oddity Central.

Berdasarkan rakaman kamera badan, pegawai dari Jabatan Polis Pantai Daytona itu kedengaran sedang memberitahu pekerja Jabatan Kanak-Kanak dan Keluarga berkenaan kejadian itu.

Menurut pegawai polis itu, anaknya sedang mengalami kesukaran dengan latihan tandas.

Justeru bagi memberi pengajaran kepada anak lelakinya itu, dia memasukkannya ke dalam penjara untuk beberapa hari pada Oktober tahun lalu.

Masukkan dalam sel tahanan dan tangan digari

Selain itu, pegawai polis tersebut juga pernah bertindak menggari anak lelakinya dalam kejadian yang berasingan.

Menurut pegawai polis itu, selepas pengalaman traumatik tersebut, anak lelakinya itu telah berjanji untuk tidak akan mengulangi perkara sebegitu lagi.

“Dia menangis. Saya mendapat respon yang saya harapkan daripadanya,” kata pegawai polis tersebut kepada Jabatan Kanak-Kanak dan Keluarga.

Tambah pegawai polis itu, ibu bapa hanyalah manusia biasa dan tidak lari daripada melakukan kesilapan. Tindakan beliau mengenai hukuman dalam latihan tandas untuk anaknya adalah sebagai hukuman sementara waktu.

Sementara itu, pegawai polis tersebut mengakui bahawa dia pernah memenjarakan anak lelakinya dalam dua kejadian yang berasingan.

Bagaimanapun, semasa perbualannya dengan pekerja kes, beliau mendedahkan bahawa kaedah yang sama turut digunakan untuk melatih anak sulungnya.

Menurutnya, kaedah itu pernah digunakan dalam mendisiplinkan anak sulungnya ketika dia baru berusia empat tahun selepas memukul seorang gadis dan berkelakuan buruk.

“Saya membawanya ke penjara dan dia duduk di sana sambil saya memerhatikannya. Dia menangis dan sehingga hari ini, jika saya menyebut perkara itu dia hanya berkata, ‘Saya tidak akan melakukannya lagi.’ Ia berkesan,” kata pegawai itu.

BACA: Pernah Kena “Ignore” Dengan Operator, CEO Klook Kongsi Kisah Tercetusnya Idea Penubuhan Aplikasi Klook

“Jadi sebab itulah saya melakukannya dengan cara ini. Dia tidak memukul sesiapa, tetapi saya fikir perkara yang sama, disiplin. Dia tidak akan mengulanginya lagi,” tambah pegawai itu.

Dalam pada itu, pendedahan kontroversi pegawai polis itu telah menyebabkan jabatan polis menjalankan siasatan.

Walau bagaimanapun, masih belum diketahui sama ada kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut akan menghadapi sebarang pertuduhan.

Sumber: Oddity Central