Gambar: Bernama

Kumpulan Teknikal KKM Sedang Kaji Pemberian Satu Lagi Dos Penggalak-Khairy

Sofea

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kumpulan teknikalnya sedang mengkaji mengenai pemberian satu lagi dos penggalak kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, pihak kumpulan teknikal akan mencadangkan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sama ada mereka yang telah diberi vaksin Sinovac dan Pfizer boleh mendapatkan satu dos lagi.

“Kita sudah menerima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperolehi dan mereka akan membuat usul kepada CITF sama ada mereka yang telah diberi Sinovac dan Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi tetapi terlalu awal untuk buat apa-apa kesimpulan,” katanya ketika sidang media pagi tadi.

Dalam sidang media itu juga, beliau berkata dua lagi kes COVID-19 varian Omicron yang dikesan pada Jumaat. Ia menjadikan jumlah keseluruhan varian itu adalah sebanyak 64 kes.

“Daripada 64 kes jangkitan COVID-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah,” katanya.

Susulan itu, beliau juga mengumumkan mengenai penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan Umrah bermula 8 Januari 2022 sehingga ke satu tarikh yang diberitahu kemudian.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia