Kuda Ditemui Masih Hidup Selepas 21 Hari Terperangkap Di Bawah Runtuhan
Tular di media sosial seekor kuda di Turki yang ditemui masih hidup selepas terperangkap 21 hari di bawah runtuhan bangunan akibat gempa awal bulan ini.
Video yang dimuat naik oleh seorang penulis buku Turkiye, Tansu Yegen di akaun Twitter miliknya telah mendapat perhatian ramai penonton.
Video berdurasi 21 saat itu menunjukkan kuda berwarna coklat tersebut dijumpai di bawah runtuhan sebelum ditarik oleh seorang lelaki ke kawasan selamat.
Selain itu, ramai juga dilihat berkumpul mengelilingi kawasan penemuan haiwan tersebut. Mereka juga kelihatan teruja dengan penemuan kuda berkenaan.
Menurun kapsyen muat naik video itu, penemuan tersebut dikatakan berlaku di Adiyaman, bandar di selatan Turkiye.
“Luar biasa dan menakjubkan. Di Adiyaman, seekor kuda ditemui hidup di bawah runtuhan bangunan selepas 21 hari gempa bumi. Ia berjaya diselamatkan oleh pasukan bantuan,” tulis Tansu menerusi muat naik tersebut.
Perkongsian itu turut mendapat komentar daripada pengguna media sosial yang lainnya. Antara komentar yang diberikan adalah:
“Ia benar-benar satu keajaiban untuk melihat kuda itu masih hidup dan tidak berputus asa untuk hidupnya,” tulis seorang netizen.
“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat. Ia begitu indah untuk dilihat,” tulis seorang lagi netizen.
“Ia sukar untuk dipercayai dan semestinya ia satu keajaiban untuk kuda tersebut,” tulis seorang lagi yang tidak mempercayai apa yang dilihatnya.
Terdahulu, Siakap Keli ada melaporkan berkenaan peminat pasukan bola sepak Besiktas membaling ribuan anak patung atas padang. Ia dilakukan semasa perlawanan menentang Antalyaspor pada Ahad lalu.
Mereka bertindak demikian kerana mahu mendermakan mainan tersebut kepada kanak-kanak yang terkesan akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria pada awal bulan ini.
Perlawanan Liga Super Turkiye yang berkesudahan 0-0 itu dihentikan sementara pada minit keempat bagi membolehkan peminat melemparkan pemberian mereka ke atas padang.
Gempa bumi kuat pertama kali melanda Turkiye pada 4.17 pagi waktu tempatan pada 6 Februari yang lalu.
“Peminat kami melemparkan, selendang, baret dan mainan di atas padang Vodafone Park untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak di kawasan yang terkesan dengan gempa bumi untuk menceriakan mereka,” kata Besiktas dalam satu kenyataan.
Jumlah kematian akibat gempa bumi sehingga kini telah melepasi seramai 50,000 orang. Pemain sayap Ghana, Christian Atsu yang bermain untuk kelab Turkiye Hatayspor adalah antara mangsa yang terkorban.
Sumber: Tansu Yegen via Twitter