Kucing Yang ‘Dipenjara’ Setelah Dijumpai Bersama Dadah Dilaporkan Telah ‘Larikan Diri’

Aqmal Ezany

Seekor kucing yang ditahan di penjara utama Sri Lanka semasa cuba untuk ‘menyeludup’ dadah dan kad SIM telefon bimbit telah berjaya melarikan diri, lapor media tempatan.

Kucing itu telah dikesan oleh pegawai perisik penjara berkenaan pada Sabtu di Penjara Welikada yang dikawal ketat, kata seorang pegawai polis.

Hampir dua gram heroin serta dua kad SIM dan cip memori ditemui di dalam sebuah beg plastik kecil yang diikat di leher kucing tersebut, ujarnya.

Pun begitu, kucing itu berjaya melarikan diri pada hari Ahad daripada bilik penjara di mana ianya diletakkan, kata akhbar Aruna.

Walau bagaimanapun, pihak penjara tidak mengulas dengan lebih lanjut berkenaan perkara tersebut.

Difahamkan, penjara itu pernah melaporkan peningkatan insiden di mana orang melemparkan bungkusan kecil berisi dadah, telefon bimbit dan pengecas telefon ke dinding beberapa minggu lepas.

Menurut Daily Mail, Sri Lanka kini sedang bergelut dalam memerangi masalah dadah dengan ramai detektif dari bahagian anti-narkotik juga dilaporkan terlibat dalam penjualan dadah yang dirampas.

Pihak polis Sri Lanka pada minggu lalu telah merampas seekor helang yang dikatakan digunakan oleh pengedar dadah untuk mengagihkan dadah di pinggir bandar Colombo.

Sumber: Daily Mail