Kucing Redah 250km Selama Lima Bulan Untuk Cari Tuannya
Pasangan suami isteri di Olonzac, wilayah Herault, Perancis berasa terkejut apabila kucing peliharaan mereka yang hilang di Sepanyol ditemui semula berhampiran rumah mereka selepas lima bulan.
Menurut portal Oddity Central, kejadian bermula pada awal Ogos 2025 apabila Patrick dan Evelyne Sire dalam perjalanan pulang dari Sepanyol, kemudian berhenti di sebuah kawasan rehat di Catalonia untuk mengisi minyak.

Pada waktu itu, pasangan tersebut membiarkan tingkap kereta sedikit terbuka ketika pergi membeli secawan kopi dan mengesyaki kucing mereka, Filou keluar melalui ruang itu.
Mereka meneruskan perjalanan kerana menyangka Filou sedang tidur di dalam kereta, sebelum menyedari kucing itu hilang beberapa jam kemudian ketika berhenti di Tasik Jouarres, Perancis.
Setelah usaha mencari sepanjang perjalanan menemui kegagalan, Patrick dan Evelyne kembali ke kawasan rehat di Catalonia pada keesokan harinya untuk menjejaki kucing hitam putih itu.
Haiwan itu sempat melarikan diri pada 19 Ogos lalu
Menurut Oddity Central lagi, mereka juga menghubungi persatuan kebajikan haiwan tempatan di Macanet dan membuat laporan tentang kucing yang hilang kepada pihak berkuasa Sepanyol, Guardia Civil.
Harapan pasangan itu kembali bersinar pada 19 Ogos lalu, apabila terdapat laporan kelibat kucing hitam putih dilihat berhampiran kawasan rehat berkenaan namun haiwan itu melarikan diri.

Lama-kelamaan, pasangan itu mula pasrah dan beranggapan bahawa Filou mungkin telah hilang buat selama-lamanya kerana tiada petunjuk baharu ditemui di lokasi kejadian.
Namun, keajaiban berlaku pada 9 Januari apabila mereka dihubungi seorang wanita dari Homps, sebuah perkampungan berhampiran Olonzac yang mendakwa telah menjaga Filou.
Filou ditemui dalam keadaan kurus
Wanita bernama Helene itu menemui kucing berkenaan sebulan lalu dalam keadaan kurus, kesejukan dan keletihan sebelum membawanya ke klinik veterinar tempatan untuk pemeriksaan.
Hasil imbasan cip mikro pada kucing itu mendedahkan bahawa Filou adalah milik Patrick dan Evelyne Sire, sekaligus membolehkan Helene menjejaki alamat pemiliknya dan menyampaikan berita gembira.
Patrick yang bergegas ke perkampungan itu terkejut melihat Filou, yang berjaya menempuh perjalanan sejauh 250 kilometer merentasi sempadan negara untuk kembali ke rumah.