Ramai yang gemar untuk memelihara kucing kerana ianya haiwan yang manja dan comel. Pun begitu, diakui juga kucing boleh menjadi garang sekiranya terdapat ancaman di sekelilingnya.
Bukan sahaja boleh berkongsi kasih sayang dengan manusia, kucing juga diketahui dapat melindungi rumah pemiliknya daripada pelbagai ancaman. Antaranya ialah haiwan berbisa, sudah banyak dilaporkan bahawa kucing berjaya menangkap, atau mengenal pasti lebih awal ancaman tersebut.
Seperti yang dikongsikan Asian News International di laman Twitter, seekor kucing berwarna putih dilihat sedang mengawasi seekor ular tedung dipercayai yang cuba masuk ke dalam rumah. Tambah ciapan tersebut, kucing tersebut telah berjaga-jaga selama hampir 30 minit sehingga penyelamat tiba di rumah tersebut.

Menurut pemiliknya, kucing itu berusia sekitar satu tahun setengah dan tinggal bersama mereka bagaikan satu keluarga. Tindakan kucing tersebut yang berani berhadapan dengan ular tersebut telah meraih perhatian ramai dan menuai pujian.
Sumber: ANI