KHARTOUM, 24 Julai (Bernama) — Peguam Negara Sudan pada Khamis berkata pihaknya menjumpai kubur besar pegawai tentera dipercayai sudah wujud sejak 1990, lapor Agensi Berita Anadolu.
Kubur besar itu mengandungi mayat termasuk 28 pegawai tentera, dipercayai terlibat dalam rampasan kuasa tentera yang gagal terhadap pemerintahan Omar Bashir yang berkuasa selama 30 tahun.
“Peguam menemukan bukti kukuh, terdapat kubur besar pegawai tentera yang terbunuh pada 1990 dan kubur itu sekarang berada di bawah perlindungan pihak berkuasa sehingga siasatan selesai,” menurut satu kenyataan.
Rejim Bashir menggagalkan rampasan kuasa tentera pada 1990 dan banyak laporan mempercayai pegawai tentera yang terlibat dalam kudeta itu terbunuh.
Bashir kini berdepan tuduhan mengganggu-gugat perlembagaan.
— BERNAMA