KUALA LUMPUR, 30 Nov — Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh walaupun selepas pelaksanaan langkah moratorium secara menyeluruh, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut bank pusat itu, nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.43 peratus pada Oktober (September : 1.38 peratus) yang didorong oleh segmen isi rumah.
“Jumlah peruntukan meningkat sebanyak 5.54 peratus pada Oktober (September: 7.44 peratus) apabila bank-bank terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi kerugian kredit pada masa depan,” kata BNM menerusi Sorotan Bulanan – Oktober 2020 yang dikeluarkan hari ini.
Pada masa sama, bank-bank terus melakukan penstrukturan dan penjadualan pinjaman bagi peminjam berdaya maju yang masih menghadapi kerugian kredit pada masa depan.
Menurut BNM, pertumbuhan pembiayaan bersih mampan berada pada 4.5 peratus pada Oktober berbanding 4.4 peratus pada September dengan sumbangan lebih tinggi daripada bon korporat.
Pinjaman terkumpul pula pada 4.3 peratus pada Oktober berbanding 4.4 peratus pada September yang disokong oleh pinjaman isi rumah.
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menurun sedikit kepada 2.5 peratus daripada 2.7 peratus pada September. Bagaimanapun, jumlah pengeluaran meningkat pada Oktober didorong terutamanya oleh pinjaman modal kerja,” katanya.
Selain itu, inflasi keseluruhan menyederhana kepada -1.5 peratus pada Oktober daripada -1.4 peratus pada September berikutan inflasi lebih rendah masing-masing bagi perkhidmatan komunikasi dan bahan api runcit dalam negara.
BNM berkata, inflasi lebih rendah bagi perkhidmatan komunikasi turut dicerminkan oleh inflasi teras yang berkurangan kepada 0.8 peratus daripada 1.0 peratus pada September lepas.
Dalam pada itu, pertumbuhan eksport menyederhana kepada 0.2 peratus pada Oktober daripada 13.6 peratus pada September yang disebabkan terutamanya oleh eksport elektrikal dan elektronik (E&E) yang lebih lemah.
“Eksport perkilangan bukan E&E juga mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah yang terjejas akibat (prestasi) bahan kimia & keluaran kimia serta kelengkapan optik saintifik,” kata BNM.
Bagi masa depan, bank pusat itu menjangkakan eksport mendapat sokongan daripada pemulihan dalam pertumbuhan global.
“Bagaimanapun, prospek perdagangan masih bergantung pada perkembangan global berhubung dengan pandemik COVID-19.”
BNM berkata prestasi pasaran kewangan domestik bercampur-campur dengan sentimen pelabur terjejas terutamanya akibat kebimbangan mengenai kes COVID-19 yang semakin meningkat di peringkat global dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan di beberapa negara, termasuk Malaysia.
“Kesannya, indeks ekuiti global mengalami penurunan yang menyeluruh berikutan pelabur terus berhati-hati terhadap prospek pemulihan ekonomi global. FBM KLCI turut turun sebanyak 2.5 peratus,” katanya.
Menurut BNM, bagaimanapun aliran masuk portfolio bukan pemastautin terus menyokong pasaran bon domestik apabila jangkaan bahawa dasar monetari yang akomodatif dalam ekonomi maju akan berpanjangan telah menyokong aktiviti mencari keuntungan di rantau ini.
“Kesannya, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun turun sebanyak 3.8 mata asas manakala ringgit pula sebahagian besarnya tidak berubah pada Oktober,” kata bank pusat itu.
— BERNAMA