
Tak Bahaya Jika Guna Dengan Betul, Ini Cara Jaga Kuali “Cast Iron”
Kuali besi atau cast iron merupakan kuali yang diperbuat daripada besi semata-mata tanpa sebarang campuran lain, dan tanpa sebarang salutan. Bagi peminat rancangan masakan, sudah tentu kita terbiasa menonton kebanyakan cef dari luar negara memasak menggunakan kuali ini.
Pelbagai cara masakan boleh dibuat hanya dengan menggunakan satu peralatan ini sahaja contohnya membakar, menumis, merebus dan menggoreng. Selain mempunyai banyak kegunaan, kuali cast iron juga datang bersama pelbagai kebaikan.
Rupa-rupanya, penggunaan kuali ini memberi banyak kebaikan kepada penggunanya seperti yang dikongsikan oleh seorang pakar pemakanan klinikal berdaftar, Katherine Marengo.
Tidak hanya diakui mampu mengekalkan haba dengan baik dan dapat membuatkan makanan kekal panas, kuali ini juga sesuai digunakan pada mana-mana jenis dapur sama ada gas, elektrik atau induksi. Kuali jenis ini juga bersifat serba guna kerana boleh digunakan untuk memasak menggunakan ketuhar atau di atas api terbuka seperti unggun api. Malah, kuali atau periuk ini juga lebih tahan lama berbanding kuali atau periuk lain. Jimat. Satu untuk semua, untuk selamanya.
Selain itu, timbul juga beberapa persoalan berkenaan kandungan besi yang secara tidak sengaja ditambah dalam masakan apabila menggunakan kuali cast iron. Menurut Katherine, perkara ini ada benarnya namun kajian tidak mendapati sebanyak mana kandungan besi ‘diserap’ dalam hidangan makanan.
Dengan begitu banyak kebaikan penggunaan kuali ini, timbul pula persoalan, adakah ia selamat digunakan?
Bagi menjawab soalan ini, SK ketengahkan pendapat daripada seorang profesor Jabatan Sains dan Teknologi Makanan Virginia Tech, Sean O’Keefe.
“Kuali cast iron diperbuat daripada besi semata-mata. Kuali besi tahan karat (stainless steel pan) pula diperbuat daripada besi yang dicampur kromium. Kromium akan menghasilkan lapisan kromium oksida di permukaan bagi menghalang pembentukan lapisan besi oksida. Disebabkan itu, kuali yang terdedah sememangnya akan mudah karat. Bagi mengelakkan pengaratan berlaku, perlu lakukan pengeringan,” jelas O’Keefe.
Sememangnya apa sahaja peralatan yang diperbuat daripada besi perlu dijaga dengan rapi berikutan peralatan ini mempunyai potensi tinggi untuk berkarat. Begitu juga dengan kuali cast iron yang bukan diperbuat daripada besi stainless steel. Dengan cara penjagaan yang betul, ia boleh bertahan bertahun-tahun, malah boleh diwariskan kepada anak cucu.
Perkara paling penting, elakkan untuk memasak makanan berasid menggunakan kuali anda. Hal ini kerana asid tersebut boleh merosakkan lapisan minyak yang disalutkan ketika proses seasoning.
“Kuali yang telah diminyakkan (seasoning) boleh digunakan untuk masakan berasid tetapi ia bukan pilihan yang terbaik jika makanan tersebut direbus untuk jangka masa yang lama. Contohnya sos tomato. Untuk menggunakannya, kuali yang bersalut enamel seperti Le Creuset lebih sesuai,” jelas O’Keefe.
Berikut merupakan cara untuk menjaga kuali cast iron daripada beliau.
Minyakkan kuali anda dengan teliti sebelum anda pertama kali menggunakannya. Gosok seluruh permukaan kuali dengan lemak atau minyak. Kemudian, terbalikkan kuali besi tersebut dalam ketuhar selama satu jam pada suhu 232° Celsius. Ulang cara ini dua hingga tiga kali untuk menghasilkan lapisan minyak teroksida di permukaan kuali.
Selepas setiap kali digunakan, bilas kuali anda dengan air suam dan sabun jika perlu. Keringkan sebaiknya kemudian gosok dengan minyak untuk mengekalkan lapisan seasoning tersebut.
Menurut O’Keefe, pemilihan minyak juga penting untuk dititik beratkan. Beliau mencadangkan penggunaan minyak dengan komposisi minyak tak tepu yang tinggi bagi menghasilkan lapisan seasoning kukuh. Contohnya minyak kacang soya atau minyak biji flaks (flax seed).
Kuali juga perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum mula memasak. Selain itu, penggunaan peralatan kayu juga digalakkan namun ini tidak bermaksud anda tidak boleh menggunakan peralatan besi.
“Anda boleh menggunakan peralatan besi selagi anda tidak menggores atau menekan secara kasar permukaan kuali cast iron sehingga merosakkan lapisan atas,” ujar O’Keefe.
Sumber: Virginia Tech, Healthline
BACA: Jenis Kesalahan Dikesan Kamera AwAS & Senarai Lokasi Terkini
BACA: Kenapa Jambatan Kedua Pulau Pinang Tak Lurus? Ini Sebabnya