Krisis Tenaga Eropah Meruncing, Warga UK Dijangka Kena ‘Hadap’ Bil Naik 80 Peratus Oktober Ini
Pengawal selia tenaga Britain mengumumkan pada hari Jumaat bahawa ia akan menaikkan bil tenaga pengguna di negara itu kepada purata RM 15,000 setahun, berbanding RM 8,700 yang dikenakan sebelum ini.
Kenaikkan tersebut melibatkan 24 juta isi rumah manakala 4.5 juta isi rumah yang menggunakan pelan prabayar menghadapi peningkatan daripada RM 9,000 kepada RM 16,000. Had itu tidak terpakai di Ireland Utara, di mana pembekal boleh menaikkan harga pada bila-bila masa selepas mendapat kelulusan pengawal selia yang berbeza.
Sebelum ini, harga standard telah dilaksanakan bagi mengawal had caj yang boleh dikenakan oleh pembekal tenaga kepada pengguna, bagaimanapun ia telah dikaji semula setiap tahun oleh Ofgem bagi memastikan harga yang dikenakan mengambil kira situasi semasa pasaran tenaga.
Harga gas melonjak ke paras rekod sepanjang tahun lepas kerana permintaan global yang lebih tinggi. Selai itu, ia turut berpunca daripada paras simpanan gas Eropah yang rendah dan serta sekatan import yang dikenakan ke atas Rusia, pembekal utama gas Eropah, susulan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Awal bulan ini, Ofgem mengumumkan ia akan mengira semula had setiap tiga bulan berbanding setiap enam bulan berpandukan turun naik pasaran semasa. Pemerhati meramalkan had boleh meningkat kepada RM 20,000 pada suku pertama dan kepada RM 23,800 pada suku kedua sebelum turun sedikit kepada RM 21,200 pada suku ketiga.
Pada bulan Julai lalu, kerajaan mengumumkan akan memberi bantuan RM 1,700 kepada semua isi rumah dalam tempoh enam bulan mulai Oktober untuk membantu bayaran bil. Bayaran tambahan RM 2,900 secara “one-off” juga diberikan kepada lapan juta isi rumah yang terkesan. Beberapa pembekal juga telah mengumumkan pakej sokongan untuk pelanggan.
Walau bagaimanapun, program-program kerajaan ini dikritik secara meluas kerana gagal menangani masalah itu secara keseluruhan. Ia juga dibandingkan dengan situasi ketika pandemik Covid-19 dan krisis kewangan 2008 dari segi kesannya kepada penduduk.
Sumber: CNBC