bts latihan ketenteraan
Gambar hiasan | Kredit: bangtanofficial/SCMP

Kpop Terkenal, BTS Sah Sertai Latihan Ketenteraan Tanpa Pengecualian Khas

Nurhanis

Teka teki akhirnya terjawab, BigHit Music mengesahkan bahawa kesemua tujuh ahli Kpop terkenal, BTS akan menjalani tempoh Latihan Khidmat Ketenteraan tanpa pengecualian khas bermula dengan Jin.

BigHit berkata kumpulan itu sedang bergerak ke hadapan dengan rancangan untuk memenuhi perkhidmatan tentera mereka.

“Selepas konsert Busan untuk World Expo 2030, setiap individu akan memulakan usaha dengan solo. Inilah masa yang sesuai dan ahli BTS berbesar hati untuk berkhidmat.

“Jin ahli tertua BTS akan memulakan proses itu sebaik sahaja jadual solonya selesai pada penghujung Oktober.

“Ahli kumpulan lain merancang untuk menjalankan perkhidmatan ketenteraan mereka berdasarkan rancangan solo mereka sendiri,” kata kenyataan itu.

Ujar syarikat itu, seluruh ahli BTS akan mula berkumpul semula sebagai satu kumpulan yang lengkap pada tahun 2025.

“Kami dan BTS tidak sabar untuk bertemu peminat dan berkumpul semula sebagai sebuah kumpulan sekitar tahun 2025 berikutan komitmen perkhidmatan mereka,” katanya.

Gambar: NBC News

BigHit berkata dengan pelancaran album antologi pertama mereka awal tahun ini, sedikit sebanyak ia membuka laluan untuk membolehkan ahli meluangkan sedikit masa untuk meneroka projek individu.

“Sebagai sebahagian daripada keluarga HYBE, kami menyokong dan menggalakkan artis kami dan amat berbangga bahawa mereka masing-masing mempunyai masa untuk meneroka minat sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Memetik NME, pada musim panas ini kumpulan tersebut membuat keputusan untuk berehat seketika supaya mereka mempunyai ruang dan peluang untuk meneroka muzik dengan cara mereka sendiri.

Spekulasi terjawab

Baru-baru ini, kesemua ahli BTS berkumpul semula untuk konsert Ekspo Dunia 2030 Busan yang dilangsungkan secara percuma dan hampir 100,000 ribu penonton menonton persembahan mereka.

Kesemua ahli itu merancang untuk memenuhi syarat wajib ketenteraan seperti yang diperlukan oleh semua lelaki warganegara Korea Selatan yang sihat tubuh badan.

Sebelum ini, NME melaporkan berita pengumuman masuk latihan ketenteraan itu muncul selepas perdebatan umum mengenai BTS perlu dikecualikan daripada menjalani latihan itu kerana memberi sumbangan besar kepada negara mereka.

Namun, pada awal bulan ini Kementerian Kebudayaan Sukan dan Pelancongan Korea Selatan memaklumkan ia memuktamadkan bahawa BTS perlu menjalani perkhidmatan ketenteraan menjelang Disember hujung tahun ini.

Sumber: Twitter / Big Hit Music