Kredit: Jeff Kravitz/FilmMagic

KPop Demon Hunters Menang Dua Trofi Utama Di Golden Globe 2026

Athirah

KPop Demon Hunters Menang Dua Trofi Utama Di Golden Globe 2026

Animasi mega hit KPop, Demon Hunters yang ditayangkan di Netflix membawa pulang beberapa kemenangan dalam kategori utama di Golden Globe 2026 yang berlangsung di Beverly Hilton pada Ahad lalu.

BBC melaporkan KPop Demon Hunters diiktiraf sebagai Filem Animasi Terbaik (Best Animated Motion Picture) sementara Golden diangkat sebagai Lagu Asli Terbaik (Best Original Song – Motion Picture).

Animasi ini mengisahkan sebuah kumpulan muzik wanita, Huntr/x, yang menggunakan muzik sebagai senjata untuk menentang kejahatan dan sebelum ini telah menguasai pelbagai carta serta meraih banyak anugerah sejak ditayangkan pada Jun lalu.

Kredit: Netflix

“Menerusi filem ini, saya ingin benar-benar menampilkan watak wanita yang kuat,” kata pengarahnya, Maggie Kang.

Pengarah bersama, Chris Appelhans yang menerima anugerah berkenaan bersama Kang menyifatkan KPop Demon Hunters sebagai sebuah ‘surat cinta buat muzik’.

Menurutnya, kekuatan muzik telah menyatukan semua pihak dan membuktikan bahawa manusia masih memiliki empati yang tinggi.

Bagi penulis dan penyanyi, Ejae yang mencipta serta mempersembahkan lagu Golden, pengiktirafan tersebut dianggap sebagai ganjaran atas segala usaha, jerih perih dan kekecewaan selepas impiannya untuk menjadi bintang K-Pop sebelum ini tidak kesampaian.

“Anugerah ini saya dedikasikan buat anda yang pernah ditolak. Percayalah, kita tidak pernah terlambat untuk bersinar apabila tiba pada waktunya,” katanya yang turut berkongsi trofi kemenangan bersama Mark Sonnenblick dan Lee Hee-joon.

BACA: Buat Tempahan Sejak 2010, Pemilik Kedai Terima Stok Telefon Nokia ‘Purba’ Pada 2026

Sumber: BBC