Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui beliau sedih dan kecewa dengan sesetengah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih tidak serik-serik terbabit dalam kegiatan jenayah.
Beliau berkata penahanan dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, menunjukkan masih ada lagi salah laku serius dalam kalangan pegawai dan anggotanya.
Kesemua mereka ditahan atas dakwaan terbabit dalam kejadian melarikan wang tunai bernilai RM1.6 juta ringgit semasa melakukan serbuan ke sebuah unit kediaman di Segambut Dalam di ibu negara pada 12 November lalu.
Jelas beliau, ini sekaligus menunjukkan mereka tidak mengambil pengajaran atas kes penangkapan beberapa pegawai dan anggota pasukan yang pernah berlaku sebelum ini.
Sebelum ini, kes yang menarik perhatian ramai melibatkan anggota polis adalah kes sindiket macau SCAM dan judi dalam talian.
Sumber: BERNAMA TV