kpm papar jalur gemilang
Kredit: Bernama

KPM Mohon Maaf Kesilapan Pemaparan Jalur Gemilang, Tindakan Tegas Diambil

Azizah Najib

KPM Mohon Maaf Kesilapan Pemaparan Jalur Gemilang, Tindakan Tegas Diambil

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf di atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat,” maklum kementerian berkenaan.

Menerusi kenyataan yang sama, pihak KPM juga mengesahkan siasatan terperinci berkenaan kejadian tersebut sedang dilaksanakan.

Susulan itu, laporan analisis yang dicetak telah diarahkan untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera juga sedang dilakukan pihak kementerian.

Terdahulu, laporan analisis tersebut telah diedarkan kepada pihak media selepas Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2024 diadakan.

Difahamkan, laporan analisis berkenaan mengandungi laporan keputusan peperiksaan SPM secara terperinci yang merangkumi kesemua calon sekolah kementerian, termasuk Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK). Laporan berkenaan turut merangkumi perbandingan keputusan antara tahun 2024 dan tahun-tahun sebelumnya.

Menerusi laporan berkenaan, seramai 355,933 calon peperiksaan layak dianugerahkan sijil SPM bagi tahun 2024 berbanding 349,297 calon bagi tahun 2023.

Angka itu juga menunjukkan SPM 2024 muncul sebagai keputusan terbaik bagi peperiksaan tersebut sejak KPM memperkenalkan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada 2013.

Berita lanjut menyusul.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

BACA: Membanggakan, Keputusan SPM 2024 Terbaik Sejak 2013

BACA: Keputusan SPM 2024: 1,789 Calon Peroleh Keputusan Semua G