KPM Ambil Perhatian Penularan Influenza, Berusaha Pastikan Kesihatan & Kesejahteraan Seluruh Warga Institusi Pendidikan Terpelihara
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) di institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Sehubungan dengan itu, KPM mengambil pendekatan berterusan bagi memastikan langkah kawalan dan encegahan penyakit dilaksanakan secara efektif.
Antara langkah yang telah dan sedang dilaksanakan adalah menerusi Surat Pemakluman Berhubung Garis Panduan Pencegahan Penularan jangkitan ILI di Insititusi Pendidikan KPM sebagai panduan untuk menguruskannya dengan teratur dan berkesan.
Bagi mengekang penularan jangkitan, pihak institusi pendidikan diminta untuk:
Menasihatkan warganya yang bergejala untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.
Murid yang tinggal di asrama dan bergejala perlu diasingkan di bilik sakit. Ibu bapa/penjaga perlu segera dihubungi untuk menjemput murid pulang atau pihak institusi pendidikan membawa murid ke pusat perubatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan dengan kebenaran ibu bapa/penjaga.
Menasihati murid yang bergejala untuk berehat di asrama/rumah dan mengelak dari berada di tempat sesak.
Menyarankan warga institusi pendidikan untuk memakai pelitup muka apabila berjumpa orang lain atau ketika berada di tempat awam.
Mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan dalam kalangan warga institusi pendidikan.
Memberi kefahaman kepada ibu bapa/penjaga mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan ILI di institusi pendidikan dan untuk peka terhadap keadaan kesihatan anak/anak jagaan mereka.
Surat Peringatan Berhubung Pemakluman Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI telah turut diedarkan kepada semua institusi pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kepada Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober 2025. Seluruh warga pendidikan turut diingatkan untuk memastikan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan diberi perhatian.
KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Kawalan Penyakit sedang memantau secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.