anugerah Pembangunan negara
Tiada Kategori

KPKT Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024

Nurul Naqiyah

KPKT Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024

KUALA LUMPUR, 12 November 2024 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengungguli empat (4) anugerah termasuk Penerima Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024 sempena Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024 yang berlangsung di Movenpick Convention Centre, KLIA, Sepang pagi ini. Anugerah telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar kepada Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib.

Anugerah Pembangunan Negara ini dianugerahkan kepada kementerian yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam pelaksanaan Industrialised Building System (IBS), pengurusan program/ projek pembangunan dan penilaian outcome.

KPKT secara keseluruhannya telah menerima penganugerahan di bawah kategori seperti berikut:

i. Anugerah Pembangunan Negara 2024;

ii. Tempat Pertama Anugerah Pengurusan Industrialised Building System (IBS) Terbaik Peruntukan di atas RM1 Bilion.

  • Mengiktiraf aspek amalan dan pengurusan IBS dalam projek-projek binaan awam.

iii. Tempat Pertama Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi.

  • Merupakan pengiktirafan kepada kementerian dan agensi yang telah menunjukkan prestasi tinggi dalam penilaian outcome program/projek yang telah disiapkan berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan; dan

iv. Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten. – Ia mengiktiraf daya usaha berterusan kementerian mengekalkan pencapaian penilaian outcome di tahap prestasi tinggi iaitu melebihi 90 peratus bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

anugerah Pembangunan negara

Kejayaan ini merupakan suatu pengiktirafan besar dan penghargaan atas kesungguhan serta komitmen KPKT dalam memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada golongan sasaran. Projek-projek pembangunan ini dinilai dan berjaya memberikan outcome positif dalam mempertingkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, “Kejayaan yang diraih ini adalah hasil kerja keras seluruh warga KPKT yang tekun bekerja, berbakti dan berjasa. Teruskan usaha murni ini, harumkan nama negara kita. Angkat darjat dan martabat rakyat serta negara.”

Kejayaan ini merupakan hasil usaha berterusan KPKT dalam merancang dan melaksanakan projek-projek yang memberikan impak positif dalam memenuhi keperluan masyarakat. Diharapkan ia akan menjadi dorongan dan suntikan semangat kepada seluruh Keluarga KPKT dalam meneruskan kecemerlangan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.