KPKT Anjur Program Utama ASEAN Berkaitan Pembangunan Bandar Mampan
KUALA LUMPUR, 8 Julai 2025 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan tiga program utama ASEAN yang bertemakan pembangunan bandar mampan sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Tiga program tersebut adalah:
Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN (ASUF)
Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF)
Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC)

Program ini akan berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir ialah YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
ASUF, AGMF dan MGMAC ini akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan diplomatik antara bandar-bandar ASEAN, memperkasa inovasi dasar, dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam agenda pembandaran mampan.
“Dengan peranan Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab serantau dan antarabangsa dalam memacu pembangunan bandar mampan,” kata YB Menteri Tuan Nga Kor Ming dalam majlis pra-pelancaran program tersebut bertempat di Pusat SDG Kuala Lumpur, pagi ini.

“Pengiktirafan global ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap nilai dan wawasan Malaysia dalam mewujudkan pembangunan bandar yang inklusif, berfokuskan rakyat, dan mampan,” ujar beliau.
Tema “Bandar dan Wilayah Masa Depan ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan” menggambarkan wawasan jangka panjang dalam pembangunan bandar di peringkat serantau. Ia memberi penekanan kepada dua keutamaan utama iaitu memupuk keterangkuman dan kemampanan sebagai asas kepada perancangan bandar masa depan.
Dalam konteks inisiatif pembandaran mampan ASEAN, tema ini selari dengan Bidang Keutamaan Visi Komuniti ASEAN, Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, serta Strategi Pembandaran Mampan ASEAN. Ia menekankan pendekatan menyeluruh yang menggalakkan keterlibatan masyarakat, interaksi antara komuniti, serta keharmonian dengan alam sekitar demi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua warga ASEAN.

Program selama lima hari ini dijangka menghimpunkan 10 gabenor dan datuk bandar dari ibu kota ASEAN, 156 Pihak Berkuasa Tempatan, 8,000 peserta termasuk wakil dari lebih 500 bandar di seluruh ASEAN serta pihak-pihak berkepentingan.
Pelbagai sesi akan diadakan termasuk mesyuarat rasmi, perbincangan tertutup, forum, acara sampingan dan latihan, serta pameran dengan 100 reruai. Ia menjadi ruang interaktif bagi kolaborasi, perkongsian ilmu serta perancangan bandar strategik.
Setakat ini, lebih 6,000 peserta telah mendaftar menerusi portal rasmi dan ini satu pencapaian yang membuktikan momentum positif dan keyakinan komuniti serantau terhadap penganjuran ini. YB Menteri turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai rakan strategik dan pihak berkepentingan.

Program sukarelawan juga menerima sambutan hangat dengan lebih 600 permohonan daripada negara-negara ASEAN seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand. Seramai 200 sukarelawan telah disenarai pendek dan dipilih secara teliti untuk menyokong kejayaan acara ini.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, program ini mengangkat prinsip keterangkuman, dengan penglibatan menyeluruh daripada penjawat awam, datuk bandar dan gabenor, kanak-kanak, belia, wanita, ahli akademik, badan profesional, dan wakil sektor swasta. Setiap suara membawa makna,” kata YB Nga Kor Ming.
URBANICE Malaysia, sebuah Pusat Kecemerlangan di bawah KPKT, merupakan penganjur bersama dan turut bekerjasama dengan beberapa rakan strategik utama. DBKL diberi penghormatan sebagai Bandar Tuan Rumah, manakala penganjuran ini turut mendapat sokongan penuh daripada Sekretariat ASEAN. UCLG ASPAC dan UN-Habitat pula bertindak sebagai penganjur utama di peringkat serantau dan global.

Penaja & Penyedia Rasmi
Forum Pembangunan Bandar Mampan ASEAN 2025 dapat direalisasikan melalui kerjasama dan sokongan organisasi terkemuka yang komited untuk memajukan pembangunan bandar yang mampan dan inklusif di rantau ini.
Penaja Utama: PR1MA Corporation Malaysia
Penaja Platinum: Airbnb Singapore Pte Ltd
Penaja Perak: Gamuda Berhad
Penyedia Rasmi:
Penyedia Platform Penginapan Rasmi: Airbnb Singapore Pte Ltd
Penyedia OTA Rasmi: Trip.com Travel Singapore Pte Ltd
Penyedia Mobiliti Bandar Rasmi: Prasarana Malaysia Berhad
Syarikat Penerbangan Rasmi: Malaysia Airlines Berhad & FlyFirefly Sdn Bhd
Rangkaian Hotel Rasmi: 36 buah hotel di kawasan KLCC (Rujuk senarai lampiran)
Penyedia Pemindahan Lapangan Terbang & E-Hailing Rasmi: Airasia Ride
Pendaftaran & Maklumat Acara:
Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran penyertaan, sila layari www.bit.ly/ASUF_AGMF_MGMAC2025 atau imbas kod QR