
SERDANG, 18 SEPTEMBER 2024 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan Geran Start-Up dan Geran Scale-Up di bawah Program Agropreneur Muda. Insentif yang disediakan ini khusus untuk membantu golongan muda yang terlibat dalam sektor pertanian dan agromakanan untuk membantu mengurangkan kos permulaan dan mengembangkan projek pertanian sedia ada.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, Geran Agropreneur Muda Start-Up merupakan penambahbaikan dari Geran Agropreneur Muda sebelum ini.
Melalui geran yang baharu, bantuan dalam bentuk barangan dinaikkan daripada nilai maksimum RM20 ribu kepada RM30 ribu. Selain itu, had umur yang dahulunya dari 18 hingga 40 tahun kini dinaikkan kepada 43 tahun.
Jelasnya lagi, KPKM turut memperkenalkan Geran Scale-Up sebagai inisiatif untuk menyokong agropreneur yang kekal aktif dan berdaya maju dalam sektor agromakanan.

Melalui inisiatif tersebut, KPKM menyediakan bantuan lanjutan sehingga RM50 ribu kepada agropreneur muda yang pernah menerima Geran Agropreneur Muda untuk mengembangkan projek pertanian. Geran ini khusus kepada agropreneur yang melaksanakan projek huluan iaitu tanaman, ternakan dan perikanan manakala had umur bagi kategori ini ialah dari 21 hingga 45 tahun.
Geran Scale-Up ini bertujuan membiayai penggunaan agroteknologi seperti Controlled Environment Agriculture (CEA), pertanian bandar (urban farming), teknologi berteraskan 4IR seperti (Internet of Things (IoT) dan Artificial Intelligence (AI), teknologi mekanisasi dan automasi serta penggunaan teknologi hijau dalam meningkatkan produktiviti ke arah keterjaminan makanan.
Sehingga September 2024, seramai 9,754 orang agropreneur muda telah mendapat kelulusan geran dengan nilai dalam bentuk barangan sebanyak RM178.5 juta.

“KPKM sentiasa komited untuk menarik dan mengekalkan golongan muda dalam sektor pertanian. Bantuan insentif yang disediakan ini adalah salah satu usaha KPKM untuk meremajakan sektor pertanian dan secara tidak langsung untuk terus memastikan agenda keterjaminan negara dapat dicapai.” kata Arthur.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Agropreneur Muda dan permohonan Geran Start Up dan Geran Scale-Up, sila layari www.kpkm.gov.my.