GEORGE TOWN, 29 Mei (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan makanan akan mencukupi, dan akan menjalankan pemantauan harga barang keperluan asas secara harian, sepanjang pelaksanaan Fasa Pertama penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi bermula 1 Jun ini.
Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, hasil pemantauan di sembilan lokasi di seluruh Pulau Pinang bermula hari ini mendapati, tiada berlakunya pembelian panik namun tidak menolak bahawa terdapat peningkatan dalam kehadiran pengguna di pasar raya untuk membeli barang keperluan asas.
“Memang pengguna beratur panjang untuk memasuki pasar raya, namun itu disebabkan oleh langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan oleh pihak pasar raya.
“Kalau dilihat kepada kuantiti pembelian para pengguna, kita simpulkan tiada pembelian panik di sini, rakyat Pulau Pinang telah belajar daripada kesilapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan tidak membeli barang dalam kuantiti yang berlebihan,” katanya kepada pemberita ketika membuat pemantauan pembelian panik dan bekalan barangan di sebuah pasar raya di daerah Barat Daya di sini hari ini.
Tambahnya KPDNHEP melalui kekuatan seramai 238 pegawai di lapangan, akan membuat pemantauan kepada 11 barang keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur ayam, ayam (standard), roti putih, bawang, susu tepung, makanan sejuk beku dan pelitup muka.
Mohd Ridzuan berkata, sekiranya berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna dalam membeli item-item tertentu secara mendadak, pihaknya telah meminta kerjasama daripada pihak pasar raya untuk melakukan kawalan kendiri, untuk mengehadkan pembelian individu terhadap item-item tertentu.
“Saya ingin mengingatkan para pengguna bahawa ketika menjalani tempoh penutupan ekonomi ini, pasar raya masih dibuka dan tidak perlu lakukan pembelian panik. Saya nasihatkan sepanjang dua minggu akan datang, rancanglah pembelian anda dan beli barang keperluan anda untuk masa satu minggu, supaya tidak perlu keluar berulang kali,” katanya.
Beliau juga menasihatkan para peniaga, supaya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang ketika negara sedang dalam darurat kesihatan.
Sumber: BERNAMA