KPDN Perkasa Kerjasama Bersama Rakan Strategik Penguatkuasaan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkasa jalinan kerjasama strategik bersama pelbagai pemegang taruh rentas kementerian dan agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan kefungsian di bawah undang-undang yang diletakkan di bawah kawal selianya. Ini termasuk 13 Akta yang melibatkan tugas dan tanggungjawab Bahagian Penguat Kuasa KPDN.
Antara kefungsian utama adalah untuk mewujudkan perdagangan dalam negeri yang mampan dan progresif, melindungi kepentingan pengguna dan membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi.

Agenda memperkasa kerjasama strategik ini adalah selaras dengan teras pemacu Anjakan Fokus KPDN 2025 menerusi pendekatan K.I.T.A. yang menggariskan empat komponen iaitu: (K) – Keterangkuman Kerajaan (I) (T) (A). Usaha ini adalah untuk memaknai pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation dalam menggerakkan kefungsian agensi sekali gus melaksanakan tanggungjawab kolektif sebagai jentera pentadbiran awam Kerajaan.

Sebagai langkah menghargai usaha bersama ini, KPDN menganjurkan Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan bersempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53. Majlis ini merupakan manifestasi pengiktirafan khususnya kepada Law Enforcement Agencies (LEA’s) atas kerjasama dan sumbangan dalam meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan KPDN di lapangan.

Melalui kolaborasi yang terjalin, ia telah membantu pelaksanaan operasi bersepadu secara lebih berfokus, memperkukuh perkongsian maklumat risikan, mempercepat proses serahan kes oleh rakan strategik penguatkuasaan seterusnya mempermudah siasatan kes oleh penguat kuasa KPDN.

Bermula tahun 2021 hingga 31 Mei 2025, KPDN telah merekodkan sejumlah 2,811 kes serahan agensi-agensi penguatkuasaan rakan strategik. Angka ini termasuk 335 serahan kes yang dicatatkan bermula 1 Januari sehingga 31 Mei 2025. Pecahan kes mengikut tahun adalah; 2021 (250 kes), 2022 (615 kes), 2023 (790 kes) dan 2024 (822 kes) dan 2025 (335 kes).
Kesemua serahan kes ini melibatkan pelbagai kerangka perundangan termasuk penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan mencecah RM199,958,733.95.

Antara serahan kes yang mencatatkan jumlah tertinggi adalah daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) (1,146 kes), Pasukan Polis Marin (PPM) (866 kes), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (661 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (69 kes). Peningkatan konsisten ini membuktikan bahawa kerjasama rentas agensi bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan operasi penguatkuasaan malah meningkatkan keberkesanan perlindungan hak pengguna secara amnya.

Pendekatan K.I.T.A. akan terus menjadi teras pemacu dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu, telus dan tangkas seiring dengan usaha merealisasikan inisiatif K.I.T.A GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.