Kos pembinaan bilik darjah bagi tempoh 2021 hingga 2026 meningkat kepada RM280,000 hingga RM520,000.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata anggaran ini hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.
"Nilai anggaran di atas masih belum mengambil kira kos keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu yang merangkumi kerja-kerja awalan, kerja tanah dan pembangunan infrastruktur lengkap, serta pembayaran fi profesional dan caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan.
"Selain itu, kos lain seperti pembinaan blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan, dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan yang ditetapkan turut perlu diambil kira dalam pengiraan kos keseluruhan," katanya.
Menurutnya lagi, kos projek boleh meningkat apabila melibatkan keperluan logistik kerja tanah, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada PBT serta perolehan perabot dan kelengkapan.
"Justeru, di beberapa kawasan akan berlaku peningkatan kos berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan JKR.
"Bagi tempoh pelaksanaan projek sekolah, fasa prabina dari kelulusan hingga keluarnya Surat Setuju Terima (SST) bergantung kepada kaedah pelaksanaan dan keperluan pelaksanaan pengurusan nilai (Value Management-VM) berdasarkan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bil 1/2024.
"Semasa fasa pembinaan pula, tempoh masa yang diambil untuk projek disiapkan adalah berdasarkan ketetapan dalam Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025.
"Sebagai contoh, untuk kos projek yang melebihi RM25 juta, tempoh pembinaan projek yang ditetapkan adalah 36 bulan. Walau bagaimanapun, tempoh ini adalah bersifat dinamik, iaitu tempoh ini boleh berubah berdasarkan kekangan sedia ada di tapak bina.
"Seterusnya, apabila projek siap, sekolah akan mula beroperasi setelah perabot dan peralatan disediakan serta urusan pentadbiran diselesaikan," ujarnya.
Kos itu meningkat dari tahun sebelumnya iaitu 2016 hingga 2020 yang dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000.
Fadhlina memaklumkan mengenai perkara tersebut bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli mengenai perincian kos sebuah bilik darjah di sidang Parlimen pada Rabu.
Tambahnya, terdapat 55 projek di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak tahun 2010, yang mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk disiapkan.
Ia melibatkan satu projek RMK-9, empat projek RMK-10 dan 50 projek RMK-11.
"Kelewatan ini berpunca daripada tiga faktor utama iaitu kelemahan prestasi kontraktor yang menyebabkan kontrak terpaksa ditamatkan dan memerlukan pelantikan kontraktor penyiap
"Kedua, gangguan signifikan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020–2021.
"Ketiga, cabaran logistik dan kekurangan sumber, khususnya bagi projek yang terletak di kawasan pedalaman," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan akan terus memberi tumpuan penuh agar semua projek ini dapat disiapkan segera untuk dimanfaatkan oleh rakyat.