Golongan yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk mengehadkan lawatan ke hospital bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan 2019-nCoV.
Menerusi satu Tweet yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara golongan berisiko yang dimaksudkan ialah kanak-kanak, wanita hamil, warga emas berumur 65 tahun ke atas, pesakit kronik serta pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah.
“Jika golongan ini perlu hadir ke hospital, mereka dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kesihatan diri.”
Selain daripada itu, KKM juga turut menasihatkan orang ramai supaya kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun serta memakai penutup hidung dan mulut jika mempunyai gejala jangkitan di saluran pernafasan.
“Jika bergejala jangkitan saluran pernafasan, sila pakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak yg selamat (sekurang-kurangnya 1 meter) drpd org lain di sekeliling.”
Sehingga kini, wabak koronavirus yang telah membunuh lebih 500 nyawa di China telah dilaporkan semakin meningkat hari demi hari.
Sungguhpun ada beberapa orang berjaya dipulihkan daripada virus maut itu, namun ianya semakin membimbangkan kerana setiap hari, kes-kes baharu yang melibatkan 25 negara yang mempuyai kes positif virus ini melaporkan peningkatan kes.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.
Sumber: KKM Putrajaya