KOREA Selatan mengisytiharkan perang terhadap wabak Coronavirus (COVID-19) rentetan negaranya kini telah merekodkan kira-kira 5,000 kes yang disahkan serta lebih 30 kematian.
Dakwa presidennya, Moon Jae-in, krisis yang berlaku di Daegu dan wilayah utara Gyeongsang sudah sampai kemuncaknya.
“Seluruh negara sudah memasuki ‘zon’ perang untuk melawan virus ini.
“Semua organisasi kerajaan perlu menukar kepada ‘mod’ kecemasan dalam masa 24 jam,” katanya kepada pegawai kanan yang bertugas dalam mengendalikan serangan virus tersebut, baru-baru ini.
Moon turut menekankan kepentingan bagi setiap kementerian untuk menguatkan postur kecemasan darurat mengenai langkah kuarantin.
Dalam pada itu, Moon turut memohon maaf atas kesulitan menyediakan stok bekalan topeng muka yang cukup untuk keselamatan rakyatnya.
Setakat jam 10 pagi hari ini, Korea Selatan kekal menduduki tangga kedua negara tertinggi di dunia yang mempunyai kes COVID-19, dengan merekodkan lebih 5,000 kes dan lebih 30 kematian.

Sumber: ABC News, Worldometer