
Kopi Termahal Di Dunia, Secawan Cecah Hampir RM3,000
Secawan kopi yang dijual pada harga AS$680 (RM2,873) di kedai minuman Roasters Specialty Coffee House di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai yang termahal di dunia, lapor portal VnExpress.
“Ia merupakan kopi V60 dan dibancuh secara manual menggunakan salah satu biji kopi paling jarang dan eksklusif di dunia iaitu Geisha yang terkenal dengan profil rasa luar biasa,” menurut laman web kedai kopi berkenaan.
Difahamkan, biji kopi Geisha berasal dari ladang Hacienda La Esmeralda di Panama.
Varieti ini pada asalnya berasal dari Ethiopia, namun kini ditanam di tanah gunung berapi Lembah Boquete pada ketinggian antara 1,200 hingga 1,800 meter dari paras laut.
Menurut VnExpress, biji kopi itu terkenal dengan rasanya yang unik, menampilkan aroma bunga seperti jasmin, honeysuckle dan bergamot, disertai dengan sentuhan manis buah-buahan.
Kopi itu dihidangkan bersama tiramisu, ais krim coklat dan sepotong coklat istimewa yang semuanya diperbuat menggunakan biji kopi Geisha.
“Anugerah itu adalah meraikan pasukan kami dan mencerminkan reputasi Dubai yang semakin berkembang sebagai destinasi untuk pengalaman kopi yang luar biasa,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Roasters, Konstantin Harbuz.
Sumber: VnExpress