Berjanji untuk sehidup semati dan mengunci diri bersama, pasangan kekasih dari Ukraine yang tular sebelum ini kerana menguji cinta mereka dilaporkan telah berpisah.
Menurut portal NDTV, Alexander Kudlay dan Viktoria Pustovitova memotong rantai di pergelangan tangan mereka pada 17 Jun yang lalu dan memutuskan untuk membawa haluan masing-masing.
Mereka dibebaskan dari ‘ikatan’ itu oleh seorang pemotong rantai di hadapan Monumen Perpaduan di ibu negara Ukraine.
Dirantai bersama selama 123 hari dan sentiasa berada di sisi antara satu sama lain, mereka kelihatan sangat tenang semasa ‘upacara’ memotong rantai tersebut di hadapan petugas media.

Bahkan, Viktoria dikatakan sempat berteriak ‘horey’ selepas rantai itu berjaya dipotong dan mengatakan bahawa dia akhirnya telah ‘bebas’.
Pasangan itu mengunci tangan mereka bersama bagi menguji cinta dan kesetiaan mereka.
Pun begitu, eksperimen itu nampaknya ‘memakan diri’ kerana mereka telah kehilangan ‘ruang peribadi’.

“Terima kasih semua kerana menyokong kami. Lihatlah, kami sekarang sudah berjarak di antara satu sama lain, kami gembira dapat memiliki pengalaman ini di dalam hidup,” kata Alexander.
Tambahnya lagi, mereka menghadapi beberapa kesukaran untuk menjalani hidup seperti biasa disebabkan oleh eksperimen tersebut.
Sumber: NDTV