polis Pencawang Telekomunikasi Dicuri
Gambar: BERNAMA

Komponen Pencawang Telekomunikasi Dicuri, Tiga Laporan Polis Dibuat

Iqbal Yasir

Komponen Pencawang Telekomunikasi Dicuri, Tiga Laporan Polis Dibuat

KUANTAN, (Bernama) — Polis menerima tiga laporan berkaitan kecurian komponen kad slot di pencawang telekomunikasi di sekitar Raub semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata laporan berkenaan diterima daripada syarikat telekomunikasi U Mobile, Maxis dan CelcomDigi.

“Kehilangan kad slot berkenaan menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna kerana gagal memproses data internet daripada rangkaian syarikat telekomunikasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3552222.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata pihak CelcomDigi giat memulihkan kembali rangkaian dengan menggantikan peralatan yang rosak di samping membuat pemulihan kepada menara berkenaan.

“Setakat 5.30 petang, menara di Pekan Dong, Kampung Gesing, Kampung Chendra Chincin, Kampung Tanjung Putus, Kampung Bukit Pampong, Kampung Jelu, Kampung Gali Hilir, Kampung Hulu Temau dan Sungai Ruan telah berjaya dipulihkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Semalam, Fadzli dilaporkan berkata sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di Dong, Raub dilaporkan rosak akibat perbuatan vandalisme, sekali gus menjejaskan perkhidmatan di beberapa kawasan sekitar.

Beliau berkata siasatan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati menara terbabit berperanan sebagai ‘collector’ yang menghubungkan beberapa menara pemancar lain.

Sumber: BERNAMA