KOTA BHARU, 7 Jan (Bernama) — Polis Kelantan akan mengeluarkan kompaun kepada individu yang didapati sengaja berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di kawasan terlibat banjir.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata tiada lagi amaran yang akan diberikan, sebaliknya kompaun sebanyak RM1,000 akan terus dikenakan ke atas mereka yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
”Buat masa ini kita masih menggunakan peruntukan Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan semalam pihak kami telah mengeluarkan tiga kompaun kepada individu yang bermain banjir di Tambatan Diraja selepas mereka tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Jalan Pantai Cahaya Bulan-Kampung Tikat di sini hari ini. Terdahulu, beliau turut meninjau Kampung Tikat dan Muara Kuala Besar yang juga dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Shafien berkata pihaknya turut akan menempatkan anggota di tempat tumpuan ramai bagi mengelakkan orang ramai bermain air banjir dan berkumpul.
Sementara itu beliau berkata pihaknya turut mendapati segelintir mangsa banjir enggan berpindah walaupun kediaman mereka telah dinaiki air, yang menyukarkan pasukan bantuan manjalankan tugas-tugas mereka.
”Mereka diminta berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diminta pasukan bantuan untuk berbuat demikian, jangan tangguh sehingga penempatan dinaiki air kerana ia akan mengundang bahaya,” katanya.
Untuk rekod, sehingga pukul 3.00 petang ini Kelantan merekodkan 5,894 mangsa banjir.
— BERNAMA